suria

Pengantin Baru Bunuh Diri Terjun Tingkat 14

Bangunan Ganesh di Tardeo, Mumbai. - The Hindu

SEORANG pengantin wanita yang baru mendirikan rumah tangga membunuh diri pada awal pagi Jumaat dengan melakukan terjunan dari tingkat 14 kediamannya.

Punca mangsa yang tinggal di rumah tersebut bersama suami dan keluarga mentuanya itu melakukan tindakan berkenaan masih belum diketahui.

Mangsa dikenali sebagai Chaaya Kailas Bhutiya, 20, memanjat ke tingkat 14 bangunan Ganesh di Tardeo, selatan Mumbai di India menggunakan perancah bangunan dan kelibatnya disedari oleh pasangan yang berjoging di kawasan tersebut.

Saksi terus menghubungi polis, namun Chaya sudah meninggal dunia ketika pihak polis tiba di bangunan itu.

Mangsa dilaporkan terjun pada pukul 4.17 pagi dan van peronda menemukan mayatnya berlumuran darah.

"Dia segera dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia ketika tiba di hospital," kata polis Tardeo.

Chaya berkahwin dengan Kailas Bhutiya pada 3 Februari lalu dan tinggal di tingkat sembilan bangunan tersebut bersama keluarga suaminya.

Pasukan polis juga tidak menemukan sebarang nota bunuh diri.

Siasatan awal mengesyaki Chaya tidak gembira apabila dipaksa berkahwin pada usia yang sangat muda.

"Kami telah menghubungi keluarganya di Rajasthan. Mereka akan tiba pada Sabtu.

"Punca kematiannya mungkin dapat diketahui sekiranya dapat bercakap dengan ibu bapa mangsa," kata seorang lagi polis.

Setakat ini, kematian Chaya didaftarkan sebagai kematian mengejut. - Mid Day

bunuh diri

Artikel Lain