SEKURANG-KURANGNYA lima wanita cedera akibat perbuatan individu tidak dikenali yang menyimbah bahan kimia ke arah mereka dari teksi yang sedang bergerak di Kolkata. Dalam kejadian Ahad malam itu, saksi di lokasi kejadian berkata, cecair itu disimbah ke arah pejalan kaki ketika teksi kuning itu melalui Jalan Panditiya pada kira-kira pukul 9 malam berhampiran persimpangan Gariahat di selatan Kolkata. "Kami berdiri di tepi jalan dan sebaik sebuah teksi melintasi kawasan itu dengan pantas, tiba-tiba sekumpulan wanita menjerit. "Ketika itu baru kami sedar rupanya ada cecair disembur ke arah wanita itu. Kami segera membawa mereka ke kedai berdekatan untuk menyuci muka mereka. "Beberapa penunggang motosikal telah mengejar teksi berkenaan dan mereka memaklumkan kejadian sama berlaku di kawasan lain pada hari sama," demikian dakwa mekanik, Bimal Dolui. Sementara itu, Binod Roy yang juga bapa salah seorang mangsa berkata, kejadian it berlau ketika anak perempuannya dalam perjalanan pulang dari kedai ubat di Trianglar Park. "Ketika kenderaan itu mendekatinya, cermin diturunkan dan cecair itu disimbah ke arah anak saya menyebabkan dia rasa mukanya bagaikan terbakar," katanya. Remaja berusia 18 tahun itu dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Polis Kolkata mengesahkan kes berkenaan telah direkodkan di Balai Polis Ravindra Sarovar. "Siasatan awal mengenal pasti pemandu teksi itu sebagai Ricky dan usaha sedang dilakukan untuk menahannya," katanya.-IndiaToday