BAPA kepada bakal isteri Putera Harry, Meghan Markle, dilihat sedang membaca artikel mengenai perkahwinan diraja Britain itu di sebuah kafe siber, 10 hari sebelum majlis itu diadakan. Thomas Markle, 73, dilihat di Rosarito, Mexico, sedang melayari laman web untuk membaca informasi mengenai bakal mempelai itu. Bekas pengarah pencahayaaan televisyen itu dikatakan kerap berkunjung ke kafe siber kerana rangkaian internet di kediamannya lemah. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada dia sedang membuat carian mengenai bakal menantunya yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Atau dia mungkin sedang mencari inspirasi kerana dijangka memberi ucapan selepas mengiringi anaknya di majlis itu pada 19 Mei ini. Thomas Markle dikatakan menghabiskan masa selama 20 minit di kafe siber tersebut termasuklah melayari galeri foto "Markle's Sweetest Moments' di laman web majalah Town And Country. Dalam pada itu, dia turut dilihat berada di sebuah kedai jahit berhampiran rumahnya pada Jumaat lalu. Ia susulan pengumuman pembantu diraja yang memaklumkan Thomas akan hadir ke majlis itu. "Meghan Markle gembira kedua ibu bapanya bakal berada di sisi dalam majlis bersejarah itu," ujar jurucakap istana Kensington. Harry dikatakan tidak pernah bertemu dengan Thomas namun pernah bercakap dengannya menerusi panggilan telefon. Satu sumber memberitahu The Sun bahawa Thomas tidak sabar untuk terbang ke United Kingdom bagi bertemu dengan kedua-dua mempelai itu. Pada majlis itu juga, ibu bapa Meghan juga dikatakan bakal diperkenalkan kepada kerabat Diraja seperti Ratu Elizabeth, Putera Philip dan Putera Charles.