PROSES kelahiran anak antara momen paling dinanti-nanti mana-mana ibu bapa di dunia ini. Namun, lain pula kisahnya dengan seorang askar yang terlepas menyaksikan detik kelahiran anak perempuannya gara-gara kelewatan jadual penerbangan. Tidak mahu terlepas detik istimewa itu, dia menyaksikan kelahiran anaknya menerusi panggilan video Facetime. Brooks Lindsey pada mulanya menjangkakan dia akan tiba di Brandon, Mississippi sebelum isterinya Hayley masuk ke dewan bersalin. Menurut seorang penumpang pesawat yang sama, Tracy Dover, dia menjadi saksi detik penuh emosi itu apabila Brooks menyaksikan kelahiran anaknya menerusi skrin telefon. "Askar itu bersama dengan saya dalam penerbangan yang tertangguh semalam. "Dia terpaksa menyaksikan kelahiran bayinya menerusi Facetime sambil menangis. Kami pun turut sedih dan memberi ruang untuknya pada waktu itu," ujar Tracy. Malah, Tracy dan penumpang lain turut meraikan detik itu sebaik sahaja mereka mendengar suara tangisan bayi. "Saya berkongsi detik ini kerana mahu kita semua ingat bahawa askar yang berkhidmat untuk kita setiap hari terpaksa berkorban seperti ini," tambah Tracy lagi. Brook bagaimanapun berjaya menaiki penerbangan seterusnya tidak lama selepas itu. Foto berkenaan dikongsi leboh 120,000 kali di laman Facebook dan Twitter sejak ia dimuat naik oleh Tracy.