suria

Akibat obses, pemandu teksi ditahan menghendap pelakon pujaan

TOKYO: Akibat terlalu obses, seorang pemandu teksi mengulangi perbuatannya menghendap aktres pujaannya dan sekali lagi ditahan polis.

Sebelum ini, lelaki berusia 56 tahun itu pernah ditahan pada Mac lalu kerana menghendap pelakon wanita berusia 49 tahun, Momoko Kikuchi.

Menurut polis, Hiromitsu Iizuka, telah melanggar arahan supaya menjauhkan diri daripada kediaman Kikuchi.

Pada 19 Jun lalu, lelaki itu bertindak menekan interkom pangsapuri yang didiami pelakon itu, demikian lapor Fuji TV.

Pemandu teksi itu tahu di mana letaknya kediaman aktres itu selepas menghantarnya pulang beberapa bulan lalu.

Selepas itu, dia berulang kali mengunjungi rumah berkenaan dan cuba berbicara dengannya menerusi interkom.

Susulan itu juga lelaki berkenaan telah diberi amaran oleh polis supaya tidak terus menghendap Kikuchi.

Lelaki itu ditahan pada 31 Mac selepas memuat naik di Twitter mengenai hasratnya untuk ke kediaman Kikuchi. 
Tindakannya menyebabkan dia didenda 300,000 yen, selain diberi amaran supaya tidak mendekati kediaman aktres itu. Ketika itu, Iizuka bersetuju mematuhi arahan itu.

Bagaimanapun, Selasa lalu tiba-tiba Iizuka muncul di pangsapuri Kikuchi pada pukul 4 petang.

Kehadiran Iizuka diketahui apabila aktres itu melihat rakaman video pada interkom kediamannya dan terus menghubungi polis.

Ketika disoal siasat selepas ditahan kali kedua, Iizuka mengakui sukar menahan dirinya untuk menjauhi pelakon pujaannya itu walaupun sedar perlu mematuhi arahan yang ditetapkan sebelum ini.-JapanToday



Kikuchi, Iizuka

Artikel Lain