suria

Feri karam Danau Toba: Tiga lagi suspek utama ditahan

MEDAN: Pihak berkuasa Indonesia menahan tiga pegawai Agensi Pengangkutan Sumatera Utara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian feri karam di Danau Toba minggu lalu.

Akhbar tempatan melaporkan, jumlah suspek yang ditahan polis kini meningkat kepada empat orang termasuk kapten feri.

Ketua Polis Sumatera Utara, Paulus Waterpauw berkata kesemua suspek berdepan tindakan undang-undang kerana membenarkan feri KM Sinar Bangun beroperasi secara haram.

"Suspek lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan penumpang.

"Jika disabit bersalah, kesemua suspek berdepan hukuman lima hingga 10 tahun penjara serta denda," kata Paulus.

Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan empat kematian manakala sekurang-kurangnya 193 yang lain masih hilang, ia dianggap antara tragedi feri karam paling buruk pernah berlaku di negara itu.

Jumlah sebenar penumpang sukar dipastikan berikutan ketiadaan rekod lengkap dan feri kayu tersebut dipercayai beroperasi tanpa kebenaran serta membawa lima kali ganda jumlah penumpang yang dibenarkan. - Tribunnews

Danau Toba, feri

Artikel Lain