suria

Bekas pekerja Chan Zuckerberg dakwa tak diberi rehat secukupnya, lewat bayar gaji

-foto Abaca Press/TNS

ORGANISASI filantrofi yang ditubuhkan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla Chan terpalit dengan kes tuntutan mahkamah oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas kontraktor mereka yang dipecat gara-gara membuat aduan mengenai cuti dan kerja lebih masa.

Abdi Habad dalam tuntutannya terhadap 'Chan Zuckerberg Initiative' berkata, dia mula bekerja dengan organisasi yang berpangkalan di Palo Alto, California itu sebagai penyambut tetamu sejak Mei 2016.

Sepanjang berkhidmat, dia mendakwa tidak diberikan tempoh rehat. Malah, waktu makan selama 30 minit juga sering diganggu dengan urusan kerja.

Menerusi tuntutan yang difailkan di Mahkamah Agung County San Fransisco itu, dia juga mendakwa tidak pernah menerima bayaran tambahan walaupun terpaksa bekerja lebih masa.

Malah, organisasi itu dikatakan tidak pernah membayar gaji pada tarikh yang sepatutnya 'dengan niat' dan dia tidak dimaklumkan mengenai perincian gaji serta jumlah tempoh kerjanya.

Susulan itu, Abad yang membuat aduan mengenai isu berkenaan dibuang kerja pada 28 Februari lalu.

Dia juga tidak dibayar dengan bayaran yang sepatutnya setelah penamatan tugas itu.

Menerusi tuntutan berkenaan, dia memohon bayaran ganti rugi untuk dirinya.

Sementara itu, jurucakap Chan Zuckerberg Initiative memberitahu penamatan tugas Abad dibuat berdasarkan beberapa sebab.

"Kami menamatkan hubungan kami dengan vendor ini berdasarkan pelbagai sebab.

"Kami tidak pasti mengenai tuntutannya selagi tidak menerima salinan aduan dari plaintif.

"Kami mengkaji tuduhan yang dibuat dan telah menghubungi peguam yang mewakilinya," ujar jurucakap itu. - The San Jose Mercury News / Tribune News Service

Chan Zuckerberg, mahkamah

Artikel Sebelum

Bertekak berebut tandas

Artikel Berikut

Artikel Lain