ANAK-ANAK pendatang asing rela melacurkan diri mereka demi mendapatkan laluan selamat untuk masuk ke Perancis dari sempadan Itali, lapor Save the Children Italy. Golongan minoriti yang kebanyakannya dari subsahara Afrika menawarkan seks sekiranya mereka tidak mampu membayar sekitar €50 ke €150 (RM237 ke RM711) kepada pemandu. Bayaran itu adalah sebagai tukaran untuk menumpang kenderaan pemandu tersebut melepasi sempadan. Kanak-kanak terbabit turut ditawarkan makanan atau tempat tinggal sebagai bayaran kepada seks. Badan amal mendakwa mereka mempunyai bukti kes tersebut berlaku, terutamanya sejak awal tahun ini. "Mereka sangat muda dan terutamanya yang berisiko adalah kanak-kanak perempuan yang ingin melepasi sempadan Itali untuk bertemu dengan saudara mereka yang tinggal di negara-negara Eropah," kata pengarah program Save the Child Itali-Eropah, Raffaela Milano. Tambahnya, kanak-kanak perempuan terdedah kepada risiko penderaan dan eksploitasi yang sangat bahaya. Situasi di bandar sempadan Itali iaitu Ventimiglia yang menjadi hub transit para pendatang asing yang ingin ke Perancis adalah semakin buruk selepas kem sementara di Sungai Roya ditutup pada April. Sejak itu, kanak-kanak pendatang asing terpaksa tinggal di tepi jalan. Laporan itu turut mendedahkan bahawa kanak-kanak tersebut turut dipergunakan untuk seks di Itali, termasuk Rome dan wilayah seperti Veneto, Abruzzo dan Marche. - The Guardian