BEIRUT: Aktivis pencinta alam sekitar 'membuang' 10 kereta kebal usang milik tentera di luar pantai Sidon di Lubnan baru-baru ini. Ianya bertujuan mewujudkan 'syurga' untuk hidupan akuatik di Laut Mediterranean. Kesemua kenderaan itu dijatuhkan pada kedalaman tiga meter di bawah program yang berlangsung, pada Sabtu. "Ia diharap dapat menarik perhatian pelancong ke wilayah ini selain memberi pengalaman berbeza kepada penyelam di mana kami akan membangunkan kehidupan bawah laut," kata jurucakap kumpulan menerajui projek itu, Friends of the Coast of Sidon, Kamel Kozbar. Jelasnya, misi mereka adalah untuk mewujudkan 'taman bawah laut' yang jauh dari pantai di Lubnan yang kini berdepan krisis timbunan sampah sarap yang teruk. Selain projek alam sekitar, ia juga adalah sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin. "Kami sengaja menghalakan meriam kereta kebal itu ke arah Israel yang terletak di selatan Lubnan," ujarnya lagi. - BBC