SEORANG suami yang mengalami masalah tidak cukup tidur terpaksa menghubungi talian kecemasan apabila isterinya berdengkur terlalu kuat. Polis West Mindlands (WMP) di United Kingdom berkongsi petikan audio panggilan tersebut ke internet bagi menggesa orang awam agar menggunakan talian kecemasan untuk kes yang mustahak sahaja. Suami tersebut didengari mengadu tentang isterinya yang berbunyi seperti motosikal besar dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Polis yang menyambut panggilan itu berkata bahawa perkara itu bukanlah masalah polis dan meminta agar pemanggil mendapatkan nasihat doktor selepas isterinya terjaga daripada tidur. WMP terpaksa mula menjalankan kempen selepas menerima panggilan harian tertinggi dalam sejarah. Pada Sabtu, penerima panggilan mendapat 3,276 panggilan iaitu 40 peratus lebih tinggi daripada kebiasaan. Antara panggilan tersebut melibatkan orang awam mengadu tentang itik yang cedera di terusan air dan seorang remaja meminta talian kecemasan itu menghubungi ibunya untuk memaklumkan dia telah kehabisan kredit telefon bimbit. Memetik laporan Mirror UK, penerima panggilan, Olivia berkata: Saya menjawab hampir 50 panggilan sehari. "Kadang-kadang ada 10 panggilan tengah menunggu giliran dan sebab itulah kami menyarankan agar orang awam buat aduan secara atas talian. Ketua di jabatan panggilan kecemasan, Lyndsey Swallow berkata:"Kami di sini ingin membantu dan melindungi orang awam. "Tapi, kadang-kadang kami tak dapat nak bertindak segera kerana talian sibuk dengan isu yang kurang penting dan tidak sesuai untuk mendapat perhatian polis," katanya.