RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang budak lelaki dilanggar sebuah kereta ketika dia sedang mengikat tali kasutnya. Ketika kejadian mangsa dipercayai sedang bermain dengan rakannya di Kamraj, Nagar, Mumbai, India pada 24 September lalu. Namun budak lelaki itu berhenti seketika untuk membetulkan kasutnya apabila dia dilanggar seorang pemandu wanita yang tidak menyedari kelibatnya. Pada awalnya kanak-kanak yang dilihat berbaju merah dikhuatiri mengalami kecederaan serius. Namun sebaliknya berlaku apabila dia dilihat segera bangun selepas dilanggar dan hanya mengalami kecederaan ringan. Lebih memeranjatkan, kanak-kanak itu turut berlari ke arah rakannya dan kembali bermain seperti biasa. Polis tempatan berkata mereka menyedari insiden itu tetapi tidak menerima sebarang aduan. "Jika ada pihak yang membuat aduan, kami akan memulakan siasatan," katanya. - Metro.co.uk