SEBUAH hospital kerajaan di utara wilayah Phitsanulok mengeluarkan permohonan maaf awam malam tadi selepas video menunjukkan salah seorang jururawat merawat pesakit warga tua di unit rawatan rapi dengan kasar. Hospital Buddhachinaraj Phitsanulok mengadakan sidang akhbar berhubung klip video tersebut sekitar 8 malam selepas dikritik hebat kerana kakitangannya yang melayan pesakit dengan kasar. Timbalan pengarah hospital, Dr Visith Sathienwantanee mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada pesakit lelaki berusia 90 tahun yang sedang dirawat di hospital kerana menghidap emfisema. "Buat masa ini, apa yang ingin kami sampaikan kepada orang ramai ialah kami tidak mengabaikan kejadian itu, dan kami ingin memohon maaf. Kami akan menyiasat apa sebenarnya berlaku dan akan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasinya," katanya. Video tersebut telah dilihat lebih dari 8 juta kali sejak ia disiarkan semalam. Ia menunjukkan seorang jururawat yang tidak dikenali dengan kasar mengendalikan seorang pesakit yang dalam keadaan lemah dan sedang terbaring di katil hospital. Dia melemparkan bantal kepada lelaki tua itu sebelum dengan kasar menarik katilnya dan menarik rambutnya untuk meletakkan bantal di belakang kepalanya. Wanita yang menyaksikan insiden itu semasa dia berada di hospital, Pawarana Ketpan menyiarkan rakaman tersebut di halaman Facebooknya, menggesa orang ramai melihatnya. "Adakah ini etika seorang jururawat yang dituntut oleh mereka? Atau hanya dia seorang?" tulis Ketpan. "Bapa saya pernah sakit teruk, tapi ibu saya sentiasa bersamanya di hospital. Tapi jika ibu tidak bersamanya, adakah dia juga akan diperlakukan seperti ini?. "Adakah dia betul-betul pasti tak ada siapa yang akan melihatnya?" Pihak hospital belum lagi menentukan tindakan yang akan mereka ambil dengan alasan mereka ingin menyelidik perkara itu lebih lanjut untuk menentukan tindakan yang paling sesuai. Visith berkata lembaga disiplin mungkin perlu ditubuhkan. Sementara itu, jururawat terbabit yang namanya tidak didedahkan telah dipindahkan untuk melaksanakan tugas lain yang tidak memerlukan interaksi dengan pesakit. Sebagai tindak balas kepada permintaan maaf hospital, sesetengah netizen menuntut jururawat berkenaan dipecat. -Coconuts