JAKARTA: Lebih 200 gempa susulan berterusan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Kota Palu dan Donggala pada Jumaat. Menurut data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, sebanyak 201 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 Skala Richter dicatatkan berlaku sehingga 10 pagi Ahad. Keadaan itu menyukarkan lagi kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan dan rumah. Setakat malam Sabtu, mengikut data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sebanyak 410 mangsa disahkan terkorban, beratus cedera manakala ribuan rumah dan bangunan runtuh akibat gempa dan tsunami itu. Gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Sulawesi Tengah pukul 5.02 petang Jumaat yang turut menyebabkan berlakunya tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala. Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata jumlah korban dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran. "Pasukan mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran berikutan kekangan akses komunikasi, bekalan elektrik dan akses jalan raya rosak teruk," katanya dalam satu kenyataan. Sutopo berkata usaha pendataan mangsa yang terkorban juga tidak dapat dikumpulkan dengan cepat akibat kekangan telekomunikasi dan akses jalan ke kawasan yang teruk akibat gempa dan tsunami itu. - Bernama