suria

Terselamat selepas pisau 8 inci ditusuk di kepala, beri alasan mahu 'bernafas lebih baik'

Keadaan seorang lelaki dengan sebilah pisau ditusuk di kepalanya. Foto east2west news

SEORANG lelaki di Rusia terselamat daripada maut selepas sebilah pisau yang ditusuk dalam tengkoraknya 'membantunya bernafas dengan lebih baik'.

Yury Zhokhov, 41, ditemui polis dalam keadaan melutut di sebuah padang, dengan pisau dapur lapan inci ditusuk pada kepalanya.

Dia mendakwa mahu membuat satu lagi lubang di kepalanya kerana dia tidak dapat bernafas dengan baik menggunakan hidungnya.

"Saya tak dapat bernafas guna hidung. Saya tebuk kepala untuk bernafas," katanya.

Sumber penguatkuasaan undang-undang di bandar Donetsk di wilayah Rostov, Rusia berkata, lelaki berkenaan dalam keadaan sedar sepenuhnya, ketika ditemui.

Pemeriksaan sinar x menunjukkan kedalaman pisau yang ditusuk dalam kepala seorang lelaki. Foto east2west news

Berdasarkan pemeriksaan sinar x selepas dia dikejarkan ke hospital, menunjukkan betapa dalamnya pisau yang tertusuk di kepalanya.

Pihak perubatan berkata, ia satu keajaiban kerana dia tidak terbunuh atau mengalami mengalami kerosakan otak yang akut.

Pakar bedah mengeluarkan pisau berkenaan dan memberitahu lelaki tersebut selamat, tetapi dalam keadaan berisiko kerana kemungkinan jangkitan.

Seorang jurucakap Kementerian Kecemasan berkata: "Pisau itu sendiri tertusuk begitu dalam.

"Sinar x menunjukkan bilah pisau itu berada tepat di antara dua hemisfera otaknya," katanya. - Mirror Online

Artikel Lain