SEORANG gadis yang bekerja di kelab malam menyifatkan dirinya seperti 'objek' apabila dia sering diganggu secara seksual oleh lelaki-lelaki miang. Ujar gadis yang mahu dikenali sebagai Kayleigh, selain mendapat bayaran yang rendah, gangguan seksual adalah sesuatu yang biasa berlaku. Malah kata Kayleigh, tiada guna jika dia membuat aduan mengenai gangguan seksual yang dihadapinya. Dia bekerja di sebuah kelab malam di Newcastle. "Kami dibayar mengikut komisyen. Jadi terpaksa relakan tangan-tangan gatal agar minuman yang kami sediakan dapat dijual untuk meraih pendapatan. "Sewaktu bekerja, ramai yang tawarkan duit untuk melakukan perkara bukan-bukan, mereka juga tanya harga untuk tidur dengan saya. "Jika saya menolak dengan baik, mereka akan menjerit dan menghina saya," ujarnya. Selain Kayleigh, beberapa gadis yang bekerja di kelab malam turut mendedahkan gangguan serupa. Sehubungan itu, mereka kini giat berkempen menerusi projek The Shout-Up bagi menghentikan gejala itu. Pengasas, Nicole Mullen berkata, ia kini menunjukkan sinar baharu buat pekerja sektor itu. "Secara keseluruhannya, staff kelab malam, staff bar dan pengurusan berkata, mereka kini rasa lebih selesa untuk membendung gangguan seksual. "Dengan kempen ini, sesiapa sahaja boleh tampil untuk mendedahkan apa yang berlaku dan kita akan berjuang untuk mengambil perlakuan itu secara serius. "Kami ada pegawai khas yang dilatih dan mereka akan membantu siasatan secara profesional," ujar Mullen lagi. Sementara itu, seorang bekas pekerja kelab malam turut menyambut baik kempen tersebut. Namun katanya, agak sukar untuk membendung gejala berkenaan kerana ia sendiri berpunca daripada pengambilan alkohol. "Masalah itu sentiasa ada di kelab malam, ia bermula di sana. "Ia berkaitan dengan alkohol, apabila mabuk, mereka hilang pertimbangan," katanya.-Mirror.UK.