PALEMBANG: Seorang bapa di Palembang yang didakwa menembak mati keluarganya dan anjing perliharaan sebelum membunuh diri, meninggalkan dua keping nota yang memberitahu dirinya penat, tetapi menyayangi isteri dan anak-anaknya. Malah, dia turut memberitahu dirinya tidak mampu meninggalkan keluarganya bersendirian di dunia. Dalam kes pembunuhan dan bunuh diri yang menggemparkan bandar Sumatera selatan itu, ahli perniagaan berusia 45 tahun, Fransiskus Xaverius Ong, yang dikenali dalam kalangan teman-teman sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga, dipercayai membunuh isterinya berumur 43 tahun, Margereth Yentin Liana. Dia turut didakwa membunuh anak lelaki berusia 18 tahun, Rafael Fransiskus dan anak perempuan 11 tahun, Kathlyn Fransiskus. Pembunuhan itu berlaku di kediaman keluarga berkenaan di daerah Kalidoni, Palembang di Sumatera Selatan, pada awal pagi Rabu lalu. Beberapa saksi memberitahu bahawa Ong memberi petunjuk mengenai rancangannya pada malam sebelum dia membunuh keluarganya dan dua anjing perliharaan, Choky dan Snowy. Menurut salah seorang pembantu rumahnya, Ong sedang minum kopi semasa bermain piano kira-kira pukul 8 malam Selasa. Pembantu rumah, yang hanya dikenali sebagai Dewi memberitahu polis bahawa Ong hanya bermain piano apabila mempunyai masalah. Kemudian pada malam itu, dia berkata, Ong melakukan sesuatu yang luar biasa, iaitu memanggil setiap pekerja yang bekerja untuk syarikatnya serta pembantu rumah bagi mengadakan perjumpaan di kediamannya, di mana dia dilaporkan memberi wang kepada pekerjanya. Pada pukul 3 pagi Rabu, dia menghantar mesej kepada kumpulan WhatsApp sekolah menengahnya, dengan memohon kemaafan dan meminta supaya hanya mengingati perbuatan baiknya selama ini. Salah seorang rakannya keliru lalu menjawab: "Apa yang kamu bebelkan pada pukul 3 pagi?" Keesokan harinya, Sarah yang merupakan seorang lagi pembantu rumah terkejut apabila cuba mengejutkan Kathlyn dari tidur untuk pergi ke sekolah. "Sarah melihat darah di atas bantal apabila dia cuba kejutkan Kathlyn. Pada mulanya, dia fikir ia adalah darah dari hidung, tetapi kemudian dia melihat darah itu dari kepala Kathlyn," kata Dewi, seperti yang dipetik kompas.com. Pembantu rumah itu kemudian bergegas ke bilik ibu bapa Kathlyn untuk memberitahu apa yang berlaku, tetapi pintu terkunci dan tiada sahutan. Mereka kemudian memutuskan untuk meminta bantuan daripada jiran dan polis, dan kemudian mengetahui bahawa semua ahli keluarga telah ditembak mati. Ketua Polis Sumatera Selatan, Inspektor Jeneral Zulkarnain Adinegara berkata, menurut hasil bedah siasat dan siasatan saintifik, Ong telah merancang pembunuhan itu ddengan berhati-hati. "Berdasarkan (penemuan) analisis residu tembakan, ia menunjukkan bahawa Fransiskus yang mencetuskan kejadian," katanya pada Jumaat. Menurut siasatan polis, Fransiskus menembak isterinya dahulu di bilik tidur mereka. Dia kemudian berhenti sebentar, duduk di luar bilik dan menyalakan sebatang rokok. "Kita menemui puntung rokok dengan sebahagiannya diliputi darah, serta kesan kopi di luar bilik tidur. Kita andaikan dia merokok rokok dan memikirkan tindakannya sebelum meneruskan pembunuhan anaknya," kata Zulkarnain. Dia kemudian dikatakan pergi ke bilik tidur anaknya di tingkat dua dan menembaknya di kepala ketika anaknya sedang tidur. Menurut polis, mangsa terakhir adalah anak perempuannya, yang didakwa ditembak dari jarak dekat. Tiada seorang pembantu rumah yang mendakwa mendengar bunyi tembakan. Polis percaya selepas membunuh isterinya dan anak-anaknya, Ong membunuh anjing perliharaan keluarga itu dengan melemaskannya di dalam tab mandi, selepas itu dia kembali ke bilik tidurnya, mengunci pintu dan menembak dirinya sendiri. Polis bagaimanapun belum menemui motif yang jelas di sebalik pembunuhan itu, tetapi mengesyaki ia dicetuskan oleh pertengkaran antara Ong dan isterinya, yang menuntut cerai susulan tuduhan bahawa suaminya menjalinkan hubungan sulit. Satu-satunya petunjuk lain yang ada mengenai motif kejadian kemungkinan terdapat dalam catatan bunuh diri yang ditinggalkan oleh Ong. Nota-nota itu menyebut, "Saya sangat letih, saya minta maaf..." dan "Saya sangat sayangkan isteri dan anak-anak saya (serta anjing perliharaan keluarga) Choky dan Snowy. Saya tidak mampu untuk meninggalkan mereka bersendirian di dunia ini." "Dia tidak mahu mati sendiri. Itulah sebabnya dia juga membunuh seluruh keluarganya," kata Zulkarnain. - The Jakarta Post / Asia News Network