SEORANG bayi 'satu dalam sejuta' terpaksa bergelut untuk hidup selepas dia dilahirkan dalam keadaan organ-organnya berada pada kedudukan tidak normal. Ria Moreno menghidap penyakit yang yang jarang dihidapi, dikenali sebagai 'inversus situs' yang mana organ-organ utamanya berada dalam kedudukan songsang atau terbalik seperti pantulan cermin. Doktor juga mendapati dia mempunyai tiga penyakit jantung kongenital ketika dilahirkan dan stent (ring jantung) perlu dipasang ketika usianya tujuh hari. Bagaimanapun, stent itu gagal berfungsi beberapa bulan kemudian dan ibu bapanya, Amelia dan Julian yang sebelum ini mencuba selama lima tahun untuk hamil diberitahu bahawa anak kesayangan mereka itu akan mati. Tetapi, Ria yang kini berusia sembilan bulan dan tinggal di London bersama keluarganya, terus bertahan dan menentang segala kemungkinan. Ibunya berkata: "Ria adalah keajaiban sebenar. Selepas melakukan IVF dan bertahun-tahun mencuba, melihatnya buat kali pertama adalah sesuatu yang menakjubkan. "Tetapi segalanya berubah sekelip mata. Kami diberitahu dia mempunyai situs inverses yang menyebabkan organnya songsang selepas dia lahir. "Dia kini berumur sembilan bulan dan masih menentang semua kemungkinan untuk hidup. "Walaupun kami sangat bernasib baik, kesihatan Ria boleh merosot bila-bila masa, jadi kami sentiasa berhati-hati." Ms Moreno, yang tinggal di Qatar pada masa itu, berdepan kehamilan berisiko tinggi dan menjalani pembedahan C-seksyen pada usia kandungan 42 minggu. Dia dan pasangannya yang berusia 35 tahun ketika itu mendapat berita mengejutkan bahawa Ria mempunyai gangguan jantung kongenital yang kompleks dan situs inversus. Tiga gangguan jantungnya adalah gangguan perselisihan atrioventrikular dan ventrikuloarterial, kecacatan septum ventrikel dan stenosis pulmonari yang kritikal. Doktor dilaporkan menganggap keadaan ini sebagai 'satu dalam sejuta' kerana kakitangan di hospital itu tidak pernah berdepan sebarang gabungan penyakit yang jarang berlaku sebelum ini. Ms Moreno yang kini berusia 41 tahun berkata: "Julian (suami) terus beritahu jururawat bahawa kaki Ria berwarna biru sejurus selepas dilahirkan. Kami sangat panik. "Kakinya berwarna biru kerana dia tidak menerima darah atau oksigen dengan betul. Dia dikejarkan ke hospital lain untuk ICU neonatal," katanya. Pada usianya baru tujuh hari, Ria menjalani pembedahan kecemasan untuk memasang stent. Tiga minggu kemudian, Ria dan ibu bapanya keluar dari hospital dan kembali ke UK pada Jun apabila keadaannya cukup baik. Pada Julai, Ria dibawa menjalani pembedahan kecemasan kali kedua selepas pergi ke hospital untuk pemeriksaan rutin. Ibu bapanya mendapat berita yang dahsyat bahawa stent anak perempuan mereka gagal berfungsi. Mengimbas kembali detik itu, Ms Moreno berkata: "Mereka beritahu kami dia akan mati. Dunia kami gelap. "Ramai bayi ada masalah jantung tapi dia ada kesemuanya." Ria kini sudah pulang ke rumah dengan ibu bapanya yang menyatakan 'anda tak akan tahu bahawa dia sakit'. Ria perlu dipantau setiap hari dan ibu bapanya tidak boleh mengambil risiko dengan membiarkan dia berhubung dengan bayi lain sekiranya dia sakit. Masa depan jangka panjang Ria kini tidak diketahui dan keluarganya sedang meneroka pilihan yang mungkin, termasuklah pemindahan jantung ke pembedahan jantung. -Mail Online