SEEKOR anjing liar mencuri tumpuan pada sebuah pertunjukan fesyen di Mumbai, India. Ketika beberapa model sedang berjalan memperagakan koleksi pakaian tradisional daripada pereka fesyen Rohit Bal, seekor anjing tiba-tiba naik ke atas pentas. Seperti yang dirakam dalam sebuah video, anjing itu tidak mempedulikan majlis yang sedang berlangsung dan berjalan ke hulu-hilir di atas pentas tersebut. Walaupun rekaan-rekaan Rohit turut digayakan oleh aktor tampan, Sidharth Malhotra dan pelakon Diana Penty, namun anjing jalanan itu yang lebih menarik perhatian pengunjung. Menurut agensi berita ANI, anjing berkenaan dihalau keluar oleh kru penganjur tidak lama kemudian. - Indian Express