POLIS sedang menyiasat dakwaan bahawa salah seorang daripada anggotanya cuba menggunakan sebuah 'rumah selamat' polis sebagai tempat pertemuannya dengan seorang wanita yang sudah berkahwin. Penyalahgunaan rumah tersebut terbongkar apabila suami kepada wanita berkenaan mengupah penyiasat persendirian untuk mengekori isterinya, lapor Apple Daily. Penyiasat itu mengambil gambar-gambar pasangan berkenaan masuk dan keluar dari rumah tersebut yang terletak di dalam bangunan perindustrian di Jalan Hok Yuen di Hung Hom beberapa kali dalam tempoh satu bulan. Anggota polis itu yang sudah berkahwin dan berusia sekitar 40-an hanya dikenali sebagai Fung. Tahun lepas dia dinaikkan pangkat sebagai superintendan dan dipindahkan ke sayap keselamatan pasukan polis. Sebelum itu dia adalah ketua inspektor yang ditempatkan di Mong Kok. Paparan skrin video Apple Daily (kiri) dan bangunan letaknya 'rumah selamat'. Menurut laman web Pasukan Polis Hong Kong, sayap keselamatan menyediakan perlindungan VIP, yang mempunyai hubungan dengan konsulat dan menyelaraskan operasi keselamatan, termasuk anti keganasan dan latihan berkaitan. Kekasih Fung adalah penjawat awam yang bekerja berhampiran ibu pejabat polis di Wan Chai, di mana Fung ditempatkan. Suami wanita itu memfailkan aduan kepada polis, termasuk gambar-gambar penyiasat yang turut disiarkan dalam kumpulan sembang popular dalam kalangan pegawai pada Selasa. Apple Daily melaporkan bahawa rumah selamat seperti itu biasanya hanya dilihat sebagai unit kediaman atau pejabat dan biasanya digunakan sebagai tempat pertemuan dengan pemberi maklumat atau antara pegawai yang menyamar. Lokasi rumah selamat sering diubah secara berkala. Menurut sumber, Fung adalah satu-satunya pegawai yang mempunyai akses dan pemegang kunci untuk rumah selamat di Hung Hom. Sejak tuduhan itu tersebar, polis terpaksa berhenti menggunakan rumah selamat itu dan Fung diarahkan untuk mengambil cuti sementara siasatan dijalankan. Polis enggan mengulas mengenai kes itu, selain menyatakan bahawa mereka akan menangani perkara itu dengan tegas sekiranya mana-mana anggota didapati melanggar peraturan pasukan. -Apple Daily/Coconuts