KEBIASAANNYA ketika majlis pernikahan, pengantin lelaki akan menyediakan mas kawin dalam bentuk perhiasan atau wang dalam jumlah tertentu. Tetapi, lain pula halnya dengan pasangan pengantin unik di Indonesia ini. Baru-baru ini pasangan pengantin baharu ini tular di media sosial kerana menjadikan cendol sebagai mas kawin. Bagaimanapun tidak dinyatakan dengan khusus di mana majlis ini berlangsung. Pasangan ini tular selepas video pernikahan mereka dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Bagus Yudhistira pada 30 Januari. "Dengan mas kawin segelas es cendol sah," tulisnya sebagai keterangan video. Dalam video yang tersebar suasana pernikahan dilihat berlangsung seperti biasa tanpa sebarang perbezaan dengan majlis pernikahan lain. Dalam video tersebut, samar-samar kedengaran bapa pengantin perempuan menyatakan bahawa mas kawin yang diberikan adalah surah al-Ikhlas dan cendol. Setelah selamat diijab kabul, kelihatan pengantin lelaki memberikan segelas cendol sebagai mas kawin kepada isterinya. Pengantin perempuan kemudian minum cendol tersebut. Dalam satu lagi video lain, kelihatan pengantin lelaki menunggang motosikal ke lokasi pernikahan dengan terdapat peti cendol di belakangnya. -dutanett