KETIKA barisan pemimpin politik Indonesia sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Presiden (Pilpres), Basuki Tjahaja Purnama pula dikhabarkan sedang berbulan madu bersama Puput Nastiti Devi. Berdasarkan gambar pasangan itu yang tersebar di media sosial, keduanya dikhabarkan berada di luar negara. Antara gambarnya, Ahok dan Puput Nasiti Devi yang juga anggota keselamatan itu sedang duduk berdua-duaan di bangku panjang. Mereka dilihat memakai jaket tebal hitam, sambil Ahok meletakkan tangannya di pinggang Puput Nasiti Devi. Semasa Ahok dikatakan sedang melayari fasa berbulan madu, anak sulungnya, Nicholas Sean pula memuat naik saat bersama ibunya, Veronica Tan. Menerusi akaun Instagramnya, Nicholas dilihat bersama Veronica dan ahli keluarga lain ketika makan malam pada Selasa. Bagaimanapun, sehingga kini belum dapat disahkan sama ada pasangan itu sudah bernikah atau sebaliknya. Malahan, adik Ahok, Harry Basuki Tjahaja Purnama mengaku tidak masuk campur urusan abangnya. "Saya tidak mahu bercakap hal itu, kalau urusan keluarga memang boleh tetapi ada juga hal-hal yang peribadi seperti sekarang mungkin Ahok perlukan privasi," katanya. Harry juga mengakui menerima keputusan Ahok untuk memilih Puput sebagai isterinya selepas bercerai dengan Veronica tahun lalu.-Tribunnews.com