SEEKOR ikan porpoise yang jarang ditemui telah diselamatkan daripada dijual untuk dijadikan makanan selepas dua individu melihatnya sedang menangis. Air mata dapat dilihat di mata haiwan mamalia yang cirinya hampir sama dengan ikan lumba-lumba itu, semasa ia diletakkan di belakang roda tiga di Xuwen, selatan China. Tetapi, dua individu yang menyaksikan kejadian itu, Cheng Mingyue dan Cheng Jianzhuang sangat tersentuh dengan nasib haiwan berkenaan dan mereka sanggup membayar £170 (RM916) untuk menyelamatkannya. Mereka meminjam peralatan daripada penjual ikan untuk mengangkut haiwan itu kembali ke laut, membiarkannya berenang ke perairan yang lebih dalam dan menunggu di situ selama dua jam sehingga mereka tidak dapat melihatnya lagi. Mingyue berkata: "Kami melihat seseorang membawanya ke pasar dan ramai yang datang tengok. Ia menangis sepanjang proses itu." Pakar tempatan mengesahkan kepada Mingyue dan Jianzhuang bahawa ia adalah ikan porpoise dan bukan ikan lumba-lumba seperti tanggapan awal. Porpoise mempunyai kepala bulat dan tidak terlalu muncung dan sirip yang kurang melengkung. Ia disenaraikan sebagai terancam dan boleh ditemui di semenanjung Korea. Siasatan kini sedang dijalankan ke atas penangkapan haiwan terancam ini. -MetroUK