LOUIS Vuitton, Gucci, Hermes, Chanel dan Balenciaga antara jenama beg mewah yang terkemuka di dunia. Selain ia diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi, memilikinya juga memberi kepuasan kepada kaum wanita, khususnya. Beg tangan, seperti yang diketahun selalunya diperbuat daripada kulit lembu, kambing biri-biri, buaya, ular dan juga kambing. Bagaimanapun, disebabkan haiwan selalu menjadi korban kerana fesyen, pernahkah anda terfikir untuk menggunakan kulit manusia sebagai alternatif? Mungkin ada di antara anda membaca artikel mengenai Creepypasta, di mana pembunuh menggunakan kulit manusia untuk membuat tali pinggang, pembalut buku dan pelbagai lagi. Walaupun kisah yang dimuatnaik menerusi laman itu hanya kisah fiksyen seram, namun Joan dari Manchester, England mahu menggunakan kulit daripada kakinya yang dipotong. Joan yang tidak mendedahkan nama sebenarnya telah menjalani pembedahan kerana penyakit peripheral arterial disease (PAD) di mana arterinya tersumbat hingga menyebabkan gangguan pengaliran darah ke kakinya. Wanita ini tidak mahu membazirkan bahagian kakinya yang dipotong dan mula memikirkan cara untuk menggunakannya semula. "Saya tidak mahu ia dibuang dan mereput," katanya. Sehubungan itu, Joan menghubungi Sewport, pengeluar pakaian yang membantu orang ramai memenuhi idea menjadi realiti. Permintaannya supaya pereka di kilang berkenaan membantunya menghasilkan beg tangan menggunakan kulit kakinya dan sedia membayar kira-kira £3,000 (RM16,088). "Mungkin ada yang anggap saya gila, tapi ia kaki saya dan tentunya saya tidak dapat bayangkan ia dibiarkan mereput. "Ia sebahagian diri saya dan mahu menyimpannya." Walaupun ramai yang bertanggapan ia sesuatu yang menjengkelkan, namun syarikat berkenaan menerima ideanya. "Kami tidak pernah mendapat permintaan untuk mengeluarkan beg tangan menggunakan kulit sendiri tetapi selepas berbincang dengannya kami terima alasannya untuk berbuat demikian, ia sungguh peribadi." -straitstimes.com