suria

Bapa tinggalkan anak di taman sehingga mati, dakwa terlalu penat menjaganya

Mayat Baden masih belum ditemui sehingga hari ini.

SEORANG bapa mengaku membunuh anak lelakinya berusia 22 bulan dengan membiarkannya bersendirian di sebuah taman sehingga mati.

Shane Arthur Simpson, 51, berkata dia meninggalkan anaknya, Baden Bond kerana sudah terlalu penat menjaganya.

Malah dia bertindak demikian dengan harapan agar ada orang lain sudi menjaga anaknya itu.

Simpson dari Quensland, Australia menggelar Baden sebagai 'anak syaitan' sebelum meninggalkannya di tempat gelap.

Sebuah mahkamah di Australia dimaklumkan ibu bayi tersebut, Dina Colleen Bond menipu mengenai misteri kehilangan anaknya sejak hampir sedekat yang lalu.

Namun pihak berkuasa menyedari Baden tidak pernah didaftarkan di mana-mana sekolah mahupun bertemu doktor.

Baden ditinggalkan di sebuah taman dekat Sungai Logan di Eagleby, selatan Brisbane pada Mei 2007.

Baden hilang sejak 2007.

Namun dia tidak pernah dilaporkan hilang sehingga Jun 2015.

Mayatnya tidak pernah ditemui dan tidak dapat dipastikan bagaimana cara dia meninggal.

Baden dan dua lagi anak pasangan itu diletakkan dibawah jagaan pihak berkuasa negeri sebelum kembali dijaga mereka setahun kemudian.

Menurut laporan 9 News, pasangan itu akan mengunci Baden di dalam bilik tidurnya dan tidak akan menukar lampinnya, membiarkan dia dalam keadaan berbau hancing dan dipenuhi najis.

Simpson akhirnya membuat pengakuan kepada polis bahawa Baden ditinggalkan bersendirian di sebuah taman kerana dia terlalu sukar untuk dijaga.

Jelas Simpson, dia membawa Baden ke sebuah taman dan memeluk serta mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum meninggalkan bayi tersebut. - Metro.co.uk

bayi, bunuh

Artikel Lain