suria

Hidung ditumbuk gara-gara cuba leraikan pergaduhan dalam pesawat

Insiden pergaduhan berlaku di dalam pesawat Ryanair. Foto: wardrop_ben

HIDUNG seorang penumpang pesawat Ryanair ditumbuk selepas tindakannya yang cuba untuk meleraikan pergaduhan dua lelaki mabuk di dalam pesawat berkenaan gagal.

Penerbangan dari Glasgow ke Tenerife di Afrika Barat itu kecoh selepas penumpang pesawat tersebut menjerit apabila melihat lelaki malang itu muncul dari lorong dengan hidungnya yang berdarah.

Insiden pergaduhan itu berlaku apabila dua lelaki mabuk bergaduh serta menunjukkan tingkah laku yang tidak senonoh.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan lelaki yang memakai topi serta hud dan seorang lagi lelaki yang berpakaian hitam bertumbuk antara satu sama lain.

Mereka bergaduh selama kira-kira 20 saat sebelum kru kabin dan beberapa penumpang lain meleraikan pergaduhan itu.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan, kedua-dua penumpang itu ditahan selepas menimbulkan kekecohan di dalam pesawat.

Ben Wardrop, individu yang merakam kejadian itu berkata:"Pergaduhan itu bermula apabila seorang wanita tidak berkasut ingin pergi ke tandas, namun seorang lelaki sengaja mengusik wanita berkenaan, kemudian teman lelakinya cuba meredakan situasi tegang itu.

"Apabila kapal terbang mula mendarat, kedua-dua lelaki dalam keadaan mabuk itu mula bergaduh selepas meminum minuman keras dan seorang lelaki lain yang cuba meredakan situasi itu ditumbuk pada hidung hingga berlumuran darah," kata Wardrop.

Jurucakap Ryanair berkata:"Krew penerbangan pesawat berkenaan yang menuju ke Tenerife dari Glasgow Prestwick (16 Mac) telah meminta bantuan pihak polis pada waktu ketibaan selepas dua penumpang berkenaan mencetuskan pergaduhan di dalam pesawat.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku penumpang yang biadap kerana kami ingin pastikan penumpang lain berasa selamat dan selesa,"tambah jurucakap Ryanair.-Metro UK

Artikel Lain