suria

Tarrant keluar rumah sewa sembilan hari sebelum lancarkan serangan

Rumah yang disewa oleh Tarrant. Foto:Joe Allison

RUMAH sewa pengganas Christchurch, Brenton Tarrant dikenal pasti terletak di bandar Dunedin, New Zealand yang merupakan lokasi pilihan suspek untuk merancang pembunuhan yang mengorbankan 50 nyawa.

Tarrant keluar dari rumah sewanya sembilan hari sebelum dia melakukan serangan di dua masjid tersebut.

Kediaman itu disewa pada kadar 280 dollar New Zealand (RM783) seminggu dan jiran Tarrant mendakwa suspek tersebut sering kelihatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Dia berbadan gempal dan pendek, tetapi tegap. Dia juga sering ke gimnasium," kata seorang jiran lelakinya.

Polis membuat pemeriksaan di rumah sewa Tarrant.

Pengurus hotel Dunedin memberitahu, dia melihat saiz otot Tarrant semakin membesar sejak awal tahun ini.

Justin juga berasa sesuatu yang 'tidak kena' pada suspek berusia 28 tahun itu.

"Saya sangat berwaspada dengan tindakannya.

"Saya juga sering mengekori Tarrant beberapa kali di lorong pasar raya dan berasa sesuatu yang mencurigakan," ujar Justin.

Pada 6 Mac lalu, iklan hartanah telah diturunkan dan kediaman tersebut dibuka untuk pemeriksaan.

Banglo yang pernah menjadi rumah awam itu terbahagi kepada dua unit.

Tarrant menyewa di satu unit banglo berkenaan yang terletak di jalan Somerville berhampiran bukit di bandar South Island, New Zealand. - The Sun UK

Brenton Tarrant, Christchurch

Artikel Lain