SEORANG wanita selamat melahirkan cucunya sendiri selepas menjadi ibu tumpang kepada bayi milik anak lelakinya yang menjalinkan hubungan sejenis. Cecile Eledge, 61, dari Nebraska dan Uma Louise Dougherty-Eledge kedua-duanya selamat dalam proses kelahiran di Nebraska Medicine di Omaha. Eledge secara sukarela menawarkan diri menjadi ibu tumpang untuk bayi milik anaknya, Matthew, 32, bersama suaminya Elliot Dougherty, 29, ketika pasangan itu menyatakan hasrat mereka untuk memulakan sebuah kehidupan berkeluarga. "Tidak ada langsung keraguan. Ia adalah naluri semula jadi," kata Eledge dalam satu kenyataan dikeluarkan Nebraska Medicine. Kakak Dougherty menyumbangkan telurnya selepas Eledge menjalani beberapa ujian untuk mengetahui sama ada dia cukup sihat untuk hamil sementara Matthew menggunakan spermanya untuk disenyawakan. "Kami sangat bersyukur dengan keseluruhan prosesnya. "Kami sangat gembira kerana Uma dan neneknya selamat, gembira dan sihat. Pada masa ini, kami hanya akan berehat dan meraikannya," kata Matthew. Bagaimanapun, hubungan sejenis adalah dilarang dalam Islam. Pada Januari, seorang wanita British melahirkan sendiri cucu perempuannya selepas bimbang anak perempuannya yang dilahirkan tanpa rahim, tidak mempunyai anak. -DailyNews