suria

Tak percaya ada banyak duit, jutawan keluarkan tunai AS$10 juta dari bank hanya untuk tengok wangnya

Aliko Dangote. -foto Getty

SEORANG jutawan, Aliko Dangote, yang dikenali sebagai lelaki terkaya Afrika, memberitahu sebuah forum di Ivory Coast pada Sabtu bagaimana dia pernah mengeluarkan wang tunai berjumlah AS$10 juta dari bank hanya untuk melihatnya.

Ini kerana jutawan Nigeria itu juga mahu melihat sendiri wang sebenar yang dimilikinya di depan mata, bukan hanya angka di atas kertas.

"Apabila anda muda, sejuta yang pertama anda adalah penting, tetapi selepas itu, jumlahnya tak memberi banyak makna," kata Dangote yang merupakan taikun pengilang dengan pelbagai syarikat merangkumi simen sehinggalah tepung.

Dangote mendedahkan perkara ini pada forum Mo Ibrahim di Abidjan.

"Pada suatu hari, saya keluarkan tunai AS$10 juta, meletakkannya dalam bonet kereta saya dan saya letakkan di bilik.

"Saya memandangnya dan berfikir 'sekarang saya percaya saya ada duit' dan membawanya kembali ke bank pada hari berikutnya," dia memberitahu peserta forumnya.

Dangote berkata, dua sektor paling berpotensi untuk masa depan Afrika ialah pertanian dan teknologi baharu.

Tetapi dia menasihati usahawan muda Afrika supaya tidak terbawa-bawa dengan kejayaan pertama.

"Selalunya di Afrika kita membelanjakan pendapatan unjuran kita. Dalam perniagaan ada turun naik," katanya.

Dangote berkata dia kesal dengan masalah kastam dan pentadbiran yang menghalang perkembangan perniagaan di seluruh benua.

Dia mengambil contoh kesulitan yang dihadapi oleh kumpulan simennya dalam membuat eksport ke Benin dari kilang Nigeria yang terletak 40 kilometer dari sempadan.

Sebaliknya, Benin mengimport simen 'lebih mahal' dari China. -AFP

wang kertas, bank, jutawan, Aliko Dangote

Artikel Lain