suria

Pemburu badak maut dipijak gajah, mayat 'diratah' sekumpulan singa lapar

Mayat seorang pemburu haram yang mati dipijak gajah dipercayai dimakan oleh sekumpulan singa. -fotoGetty

SEORANG pemburu badak di Taman Negara Kruger (NKP) maut dalam keadaan ngeri setelah dipijak mati oleh seekor gajah dan mayatnya kemudian dimakan oleh sekumpulan singa lapar.

Empat rakan pemburu lain yang melarikan diri dari kawasan larangan di Afrika Selatan itu ditahan oleh polis dan menjelaskan bagaimana seorang ahli kumpulan mereka terbunuh.

Mereka menggambarkan bagaimana mereka terkejut apabila seekor gajah 'naik angin' ketika mereka sedang memburu badak terancam dan memijak rakan mereka itu sehingga mati, sekali gus memberi peluang untuk mereka berlari menyelamatkan diri.

KNP segera mengambil tindakan di kawasan itu yang dikenali sebagai Crocodile Bridge dan menghantar helikopter dalam usaha mencari mayat sebelum hari gelap.

Kasut antara salah satu bukti yang ditemui.

Renjer taman negara tersebut, Don English mengetuai pasukan itu pada awal hari Rabu untuk mencari mayat.

Pada Khamis mereka menemui kesan yang menunjukkan pemburu itu yang nampaknya seperti telah dimakan oleh sekumpulan singa.

Pakaian milik pemburu badak.

Apa yang ditinggalkan untuk dibawa kembali ke kem itu adalah cebisan pakaian dan kasut pemburu berkenaan yang penuh dengan darah.

Eksekutif pengurusan KNP Glenn Phillips berkata: "Tindakan memasuki Kruger secara tidak sah dan berjalan kaki adalah tidak bijak kerana ia mengundang banyak bahaya dan insiden ini adalah bukti yang jelas.

"Sungguh sedih melihat anak-anak perempuan lelaki yang mati itu meratapi kehilangan bapa mereka, dan lebih buruk lagi, hanya sedikit sahaja peninggalan yang ditemui."

Phillips bagaimanapun memuji pasukan carian kerana berjaya mencari sisa pemburu itu untuk memberi satu kesimpulan kepada keluarganya.

Empat orang yang ditangkap itu kekal dalam tahanan polis dan akan hadir di mahkamah tidak lama lagi. -TheSun UK

singa, gajah, pijak, pemburu

Artikel Lain