suria

Wanita ditahan di lapangan terbang gara-gara gelar isteri bekas suami 'kuda' di Facebook

Laleh bersama anaknya Paris.

SEORANG wanita berdepan hukuman penjara dan didenda ribuan pound sterling di Dubai gara-gara satu kenyataan mengutuk isteri bekas suaminya di Facebook dua tahun lalu.

Laleh Sharavesh, 55, berkata dia ditahan semasa bersama dengan anak perempuannya Paris, 14, dan dipenjarakan sebaik tiba di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 14 Mac lalu untuk menghadiri upacara pengebumian suaminya.

Dia ditahan mengikut undang-undang jenayah siber Dubai selepas isteri bekas suaminya, Pedro membuat laporan mengenai kenyataan Laleh yang berang di media sosial pada 2016.

Laleh berkata kenyataan itu dimuatnaik sejurus selepas perkahwinan mereka selama 18 tahun berakhir.

Pedro (kanan) berkahwin dengan wanita dari Tunisia.

Anak perempuannya dibenarkan pulang ke rumah mereka di Thames, Surrey selepas ditahan dalam lokap selama 12 jam.

Namun pasport Laleh dirampas. Ini bermakna dia tidak boleh meninggalkan negara itu, lapor Mail Online.

Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah minggu ini dan bakal dipenjara selama dua tahun dan didenda 50,000 pound sterling.

"Saya amat takut. Saya tidak boleh tidur atau makan. Saya kurus disebabkan tertekan.

"Anak perempuan saya menangis setiap malam. Kami amat rapat terutama selepas bapanya meninggalkan kami. Ia menyebabkan saya sebak kerana terpaksa berjauhan dengannya," kata Laleh.

Laleh menulis kenyataan itu dalam Parsi selepas perkahwinan suaminya dengan Samah al Hammadi, 44, dengan menggelar wanita Tunisia itu sebagai seekor 'kuda'.

Samah al-Hammadi.

Laleh menulis kenyataan itu semasa di United Kingdom (UK) tanpa mengetahui Samah membuat aduan kepada pihak berkuasa Dubai berkenaan perkara itu.

Ketika Laleh dan Paris tiba untuk upacara pengebumian Pedro, 52, yang meninggal akibat serangan jantung, mereka ditahan di lapangan terbang.

Pihak berkuasa Imigresen mengeluarkan waran susulan aduan yang diterima pada 2017.

Laleh hilang pekerjaan di sebuah rumah perlindungan gelandangan dan terpaksa berhutang sebanyak 5,000 pound sterling untuk tinggal di Dubai.

Dakwa Laleh, dia juga berdepan risiko diusir keluar daripada kediamannya di Britain kerana tidak membayar sewa rumah. - Metro.co.uk

kuda, Facebook, penjara

Artikel Lain