suria

Pengantin Pakistan sindir isu diskriminasi gender, suami pakai burqa si isteri ambil selfie

Posting pasangan pengantin Pakistan ini mengenai kesamarataan gender menarik perhatian ramai hingga tular di media sosial.

KESAMARATAAN gender membuatkan sepasang pengantin warga Pakistan menampilkan kelainan dengan si suami memakai burqa, manakala isterinya pula yang merakam selfie.

Kedua-duanya mahu membuktikan seharusnya tiada diskriminasi antara lelaki dan wanita dalam menjalani kehidupan.

Posting menyindir pandangan sesetengah pihak berhubung perbezaan gender itu dimuat naik menerusi akaun Instagram, The Mewly Weds.

Gambar suaminya yang memakai burqa bersama pengantin perempuan ketika pasangan itu makan malam tular di media sosial.

Malahan kapsyen yang mengiringi gambar itu juga menarik perhatian:"Ini suami saya yang cantik, sudah tentu anda tidak dapat melihat bagaimana cantiknya dia kerana saya mahu memastikan dia menjaga kecantikannya (dibaca identiti). Saya yang berhak terhadap pencapaian dan impiannya.. semuanya.

"Saya lebih suka jika dia tinggal di rumah saja kerana dunia ini tempat yang tidak baik, tetapi tidak mengapa jika dia keluar bersama saya.

"Semalam, saya bersama suami makan malam @madroostapk di sini ia bebas pengawet kerana saya tidak mahu kesuburannya terjejas. Saya mahu dia memberi zuriat dan membolehkan saya bergelar ibu.

"Saya tidak mahu dia dicabul, tetapi jika ia berlaku saya akan menerimanya dan berharap pencabul itu akan menerima hukuman di akhirat.

"Seorang wanita tidak sepatutnya lemah kerana kini dilahirkan untuk sentiasa tabah," kata si pengantin perempuan yang mahu mempertahankan pendiriannya terhadap hak dan kesamarataan gender.

Selepas memuat naik posting itu, wanita itu menulis di Twitter, "Kepada semua yang memahami mesej yang ingin disampaikan, kepada semua yang menyokong usaha ini, sayang daripada kami.

"Moga kita bersama sebagai pencetus perubahan dan melayan semua pihak berasaskan aspek kemanusiaan," katanya.-IndiaToday




 


burqa, Pakistan, selfie, gender

Artikel Lain