SEORANG wanita mengalami luka melecur tahap dua di muka dan lehernya selepas pembedahan plastik yang dilakukannya tidak menjadi. Wanita berusia awal 50-an itu tidak menyedari kulitnya terbakar dari dalam selepas menjalani pembedahan di Taipei, Taiwan. Dia dipercayai menjalani rawatan Thermage, satu prosedur yang menggunakan keupayaan tenaga radio frekuensi untuk menghilangkan garis-garis halus dan kedutan pada kulit. Namun selepas pulang ke rumah dia mengalami kesakitan di bahagian muka selain timbul kesan melepuh. Wajah asal wanita tersebut sebelum menjalani pembedahan plastik. Dia kemudiannya pergi ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi selama tiga minggu. Doktor Lin Shang-li yang mengendalikan Klinik Estetik dan Dermatologi Shang-Li di utara Taipei berkata pesakit itu datang kepadanya selepas mengalami trauma. "Ia disebabkan rawatan tersebut. Jika pesakit dibawah anestesia umum semasa prosedur, dia tidak boleh memberi respons kepada pakar bedah dengan segera. "Dia juga tidak boleh beritahu sama ada ia sakit atau tidak, sekali gus menyebabkan terlebih rawatan dan akhirnya berlaku kesan melecur," katanya. Lin berkata dia akan membantu merawat muka wanita itu yang kini dipenuhi parut hitam akibat luka melecur itu. Namun dia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan lagi sebelum pembedahan baik pulih itu boleh dijalankan. - Metro.co.uk