SEORANG pelajar berusia 18 tahun memfailkan saman AS$1 juta (RM4.1 juta) terhadap Apple susulan penangkapan 'traumatik' yang didakwa berpunca daripada perisian pengecaman wajah syarikat tersebut. Ousmane Bah, pelajar sebuah kolej di New York, memfailkan tuntutan terhadap Apple dan firma keselamatan Security Industry Specialists Inc pada Isnin, menurut Bloomberg. Bah masih bergelar pelajar sekolah menengah apabila dia menerima saman dari mahkamah di Boston, mendakwa dia telah mencuri produk Apple bernilai AS$1,200 (RM4,959) atau secara khususnya Pensil Apple, dari stor Apple di Boston. ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar universiti jual iPhone, tipu Apple hampir AS$1 juta Mengikut dokumen, Bah tidak pernah ke Boston dan dia sedang menghadiri satu acara di Manhattan pada hari kecurian berlaku. Bah kemudian dituduh melakukan kecurian tambahan dari stor Apple di New Jersey, Delaware dan New York City. Bah ditahan oleh polis New York di rumahnya pada November 2018, jam 4 pagi kerana disyaki melakukan kecurian di stor Apple Manhattan. Pelajar yang ditangkap memfailkan tuntutan terhadap Apple dan firma keselamatan Security Industry Specialists Inc. Menurut kertas pertuduhan, waran polis mempunyai gambar seorang suspek yang tidak menyerupai Bah, tetapi mereka tetap melakukan penangkapan itu. Penyiasat NYPD sedar bahawa mereka telah tersalah tangkap Bah apabila melihat rakaman di stor terbabit dan melihat suspek langsung tidak kelihatan seperti Bah. Detektif kemudian memberitahu Bah bahawa masalah yang timbul mungkin ada kaitan dengan perisian pengecaman muka Apple. Katanya, teknologi keselamatan Apple "mengenal pasti suspek kecurian menggunakan teknologi pengenalan wajah". Saman itu tidak mengkhususkan tentang bagaimana Apple menggunakan pengiktirafan wajahnya untuk keselamatan, tetapi kerap menyebut tentang ciri pengenalan muka Face ID, yang digunakan dalam model-model iPhone dan iPad yang lebih baharu. Penyiasat itu juga mengesyaki bahawa pencuri sebenar mungkin menggunakan lesen memandu interim Bah yang hilang sebagai ID semasa melakukan salah satu kesalahan, dengan itu ia dapat mengaitkan Bah kepada jenayah dalam sistem Apple. Apple dan Security Industry Specialists Inc tidak memberikan komen segera kepada Business Insider. Kedua-duanya enggan mengulas mengenai tuntutan mahkamah itu apabila dihubungi oleh Bloomberg. -Bloomberg