BIASANYA kita kerap melihat kucing dan ikan yang gemar tidur, tetapi adakah anda tahu haiwan ini sebenarnya suka melalui perjalanan yang jauh? Itulah yang berlaku ke atas Daikichi dan Fuku-Chan, dua ekor kucing yang bertuah kerana dapat menikmati pengalaman melancong bersama tuan mereka, Daisuka Nagasawa. Kedua-dua kucing itu telah berjalan ke seluruh Jepun sejak lapan tahun lalu dengan dan sepanjang tempoh itu mereka telah mengembara ke 47 wilayah dan mengunjungi ke lebih 1,000 destinasi. Nagasawa yang gemar berkongsi pengembaraannya bersama dua haiwan kesayangannya itu di laman media sosial telah menarik perhatian kira-kira 6,700 pengikut di Instagram. Semuanya bermula pada 2011 apabila setiap kali Nagasawa keluar bekerja, Fuku-Chan bertindak agresif sehingga menghalang tuannya meninggalkannya. Akhirnya, tercetus idea pemilik kucing berkenaan untuk membawa kedua ekor kucing peliharaannya berjalan-jalan ke seluruh Jepun. Untuk memudahkan perjalanan mereka, Nagasawa menggunakan kereta sorong bayi bagi memudahkan pergerakan mereka selain menempatkan keperluan haiwan itu. Malahan Nagasawa juga menggunakan beg galas untuk menggalas kedua-dua kucingnya sambil menikmati pemandangan indah. Kebiasaannya Nagasawa akan memastikan destinasi yang dituju mempunyai tempat penginapan mesra haiwan peliharaan seperti Hotel Kyukamura Fuji ketika berkunjung ke kawasan tanah tinggi itu.-Chinadaily.com