suria

Bengang tak dapat hantar WhatsApp sebab disekat, lelaki bunuh teman wanita

Seorang wanita maut dibunuh teman lelakinya selepas menyekat lelaki itu daripada menghantar mesej melalui WhatsApp.

SEORANG pekerja dari Asia berusia 30 tahun dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan akan diusir dari Arab Saudi kerana membunuh teman wanitanya.

Dia mengambil langkah drastik itu selepas teman wanitanya menyekatnya di WhatsApp.

Lelaki itu mengajak mangsa, juga dari Asia, berkahwin dengannya setelah menjalinkan hubungan selama sebulan dan wanita itu bersetuju, Al Bayan melaporkan.

Walau bagaimanapun, mangsa kemudian bertindak menyekatnya di WhatsApp dan semua bentuk komunikasi lain tanpa sebarang amaran.

Lebih mengeruhkan keadaan, lelaki itu juga telah meminjamkan sejumlah wang untuk membantu kekasihnya itu yang menghadapi masalah kewangan.

Marah dengan mangsa yang menyekatnya di WhatsApp, lelaki terbabit pergi ke tempat kerjanya untuk bertanya mengapa dia bertindak seperti itu.

Perbincangan di antara mereka berdua menjadi tegang dan lelaki itu dilaporkan merangkul leher mangsa dengan lengannya sehingga dia terjatuh dan kepalanya berdarah.

Dia kemudian didakwa melemaskan mangsa dengan menekup tuala yang diletakkan di atas mukanya selama 10 minit, sehingga dia meninggal dunia.

Selepas itu lelaki berkenaan mengambil telefon mangsa dan melarikan diri dari tempat kejadian tanpa sesiapa pun yang melihatnya.

Dia dilaporkan merancang untuk melarikan diri tetapi polis dapat menangkapnya selepas menerima panggilan daripada majikan mangsa untuk melaporkan pembunuhannya. -KhaleejTimes

WhatsApp, sekat, kekasih

Artikel Lain