suria

Raja Thai buat kejutan berkahwin, umum Suthida sebagai permaisuri

Raja Thai, Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Suthida hanya dua hari sebelum pertabalannya yang akan berlangsung Sabtu ini.

DUA hari sebelum upacara pertabalannya, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn telah berkahwin dengan timbalan pemerintah pasukan pengawal peribadi raja, Suthida Tidjai.

Pengumuman yang mengejutkan ramai pihak itu sekali gus membolehkan Jeneral Suthida Vajiralongkorn bergelar permaisuri.

Reuters melaporkan pengumuman itu yang disiarkan Jurnal Diraja pada Rabu, menyatakan Raja Vajiralongkorn, 66 sudah berkahwin dengan Suthida.

Upacara pertabalan Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran Raja Rama X akan berlangsung pada 4 hingga 6 Mei ini.

Baginda mewarisi takhta Thailand selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016, selepas 70 tahun bertakhta.

Pada 2014, Vajiralongkorn melantik Suthida Tidjai, bekas pramugari Thai Airways sebagai timbalan pemerintah unit pengawal peribadinya ketika beliau masih putera mahkota.

Pemerhati keluarga diraja dan media asing pernah mengaitkan hubungan romantik Suthida dengan Raja Rama X, namun tiada pengesahan di pihak istana.

Raja Vajiralongkorn menjadikan Suthida sebagai jeneral pada Disember 2016, dan timbalan pemerintah pasukan pengawal peribadi raja pada 2017.

Baginda juga menganugerahkan Suthida taraf kerabat diraja dengan gelaran ‘Thanpuying’.-TheStar

Raja Thai, Suthida, permaisuri

Artikel Lain