EMPAT lelaki bersenjata menyerang sebuah hotel lima bintang di Gwadarl, Pakistan dan menyebabkan seorang pengawal keselamatan maut. Difahamkan sekurang-kurangnya 70 tetamu termasuk 40 warganegara China berada di Hotel Pearl Continental semasa serangan berlaku. Serangan itu mencetuskan keadaan panik dalam kalangan tetamu yang berada di hotel tersebut. Namun semua tetamu berjaya diselamatkan. Polis dikatakan berjaya mengepung kawasan hotel terbabit. Kumpulan berhaluan kiri, Baluch Liberation Army mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dengan mendedahkan empat anggota mereka terlibat. Dalam satu kenyataan, kumpulan itu mendedahkan semua gambar penyerang yang didakwa polis terbunuh dalam insiden berbalas tembakan. "Semua empat pengganas maut," kata jurucakap polis. Hotel Pearl Continental terletak dekat Gwadar yang dibina Pakistan dengan bantuan China beberapa tahun lalu. Ia adalah serangan terbaharu selepas insiden 14 maut termasuk 11 anggota keselamatan dibunuh kumpulan pengganas dekat Ormara, Gwadar minggu lalu. - Metro.co.uk