SEORANG YouTuber, tidak boleh menangis, berpeluh atau mandi kerana dia akan mengalami ruam yang menyakitkan pada kulit tubuhnya selama berjam-jam. Dia menghidap ‘pruritus aquagenic’, satu gangguan yang jarang berlaku, membuatkan dirinya sangat alah terhadap air. Niah Selway, 21, mendedahkan bahawa dia mengalami ruam yang menyebabkan ‘badannya seperti terbakar selama berjam-jam' setiap kali kulitnya terkena air. Jadi, dia sering mengelakkan diri daripada keletihan kerana jika dia letik maka berlakulah tindak balas akibat keadaan yang tidak diketahui dan sukar untuk didiagnosis, lapor Daily Mail. ”Tidak kiralah di bahagian mana, jika setitik pun air terkena lengan saya kesakitan akan merebak ke bahagian belakang saya dan kadang-kadang ke seluruh badan. “Apabila saya mandi, seluruh badan saya rasa terbakar selama berjam-jam," kata Selway sambil menambah keadaannya telah menyebabkan dia sering ‘melekat’ di rumah. Keadaan kulit kaki Selway seolah-olah mengelupas selepas terkena air. Tetapi mujurlah, organnya tidak terjejas akibat gangguan itu, yang bermakna dia masih boleh minum air. Selway pertama kali menyedari keadaan ini pada usia lima tahun, tetapi gejala hanya menjadi semakin teruk apabila dia semakin dewasa. “Pada mulanya ia akan berlaku setiap 10 kali mandi, doktor tidak tunjukkan kebimbangan, jadi saya fikir mungkin saya jenis tak tahan sakit. Kemudian ketika remaja saya, ia berlaku setiap kali mandi dan sampai ke tahap di mana saya tidak dapat mengabaikannya,” tambah vlogger ini. “Saya menderita dengan cara yang sangat teruk, dan tidak ada ubat atau rawatan yang dapat memberikan kesan yang besar. Ini pada dasarnya adalah hilang upaya kerana ada beberapa perkara yang tidak boleh saya lakukan. “Pada waktu pagi, apabila saya ke tandas saya akan mempunyai tindak balas alergi,” kata Selway sambil menambah gangguan itu memaksa dia untuk berhenti kerja di sebuah syarikat insurans. Kulitnya juga akan mengalami ruam jika terkena air. “Saya juga tidak boleh melakukan banyak senaman selain dari yoga dan berjalan kerana saya tidak boleh berpeluh dan ketika cuaca panas saya perlu duduk depan kipas. Memikirkan tentang hujan juga menakutkan, jadi saya tidak pernah keluar jika ada kemungkinan hujan,” tambah Selway. Kenangannya yang paling berharga ialah melakukan selam skuba di Tenerife pada tahun 2013 kerana dia tidak dapat melakukannya lagi sekarang. “Banyak wish list saya adalah perkara berkaitan dengan air, seperti berenang dengan jerung," tambahnya. Pakar kulit dermatologi dan jurucakap Yayasan Kulit British, Dr Adil Sheraz berkata, "Pruritus akuatik adalah keadaan luar biasa dan menyakitkan yang mengakibatkan gatal-gatal yang teruk serta-merta selepas bersentuhan dengan air. Penyebab asas tetap tidak diketahui, teori-teori yang dicadangkan termasuklah pecahan sel mast yang membawa kepada histamine dan dengan itu menjadi gatal. -Mail Online