suria

Doktor keliru, budak sakit hidung tapi perut yang dibedah

Budak lelaki yang sepatutnya menjalani pembedahan membuang polip pada hidungnya telah dibedah pada perut kerana penyakit hernia.

SEORANG doktor di daerah Kerala Malappuram melakukan pembedahan hernia terhadap pesakit kanak-kanak yang mengalami masalah ketumbuhan pada saluran pernafasan.

Kekeliruan timbul berpunca daripada nama dua pesakit yang hampir sama di sebuah hospital di bandar Manjeri kira-kira 175 kilometer dari Kochi di India.

Pada Selasa, budak lelaki berusia tujuh tahun itu, Mohammed Danish telah dibawa ke bilik bedah untuk membuang polip pada hidungnya tetapi sebaliknya melalui pembedahan hernia.

Insiden itu mendapat perhatian ibu bapa Danish dari daerah Karuvarakundu apabila melihat anak lelaki mereka dibedah pada perut, bukannya membuang polip di hidungnya.

Sumber hospital memberitahu media PTI, ada seorang lagi pesakit bernama Dhanush yang sepatutnya menjalani pembedahan hernia berkenaan.

Kesilapan berlaku kerana nama pesakit yang hampir sama iaitu Danish dan Dhanush.

Menteri Kesihtan Negeri, KK Shylaja mengarahkan supaya siasatan dijalankan terhadap doktor terlibat, A Suresh Kumar.

"Pesakit tidak seharusnya menderita sakit kerana kesilapan dan kecuaian kakitangan hospital," katanya sambil menambah, pesakit kanak-kanak itu sepatutnya mendapat rawatan percuma di hospital berkenaan.

Selain itu, pertubuhan hak asasi kemanusiaan di negeri itu juga telah mendaftarkan kes berkenaan susulan insiden berkenaan.

"Kejadian ini adalah kecuaian yang serius di pihak kakitangan hospital termasuk doktor," kata anggota panel K Mohan Kumar.

Susulan itu, Kumar meminta supaya pengurusan hospital itu mengemukakan laporan kejadian termasuk menyenaraikan petugas terlibat ketika pembedahan itu.-IndiaToday




hernia, Kochi

Artikel Lain