suria

Diramal hidup hanya sejam tapi bayi paling kecil di dunia, Saybie memang panjang umur!

Saybie kini dapat bertahan hingga usianya mencecah enam bulan.

REKOD menunjukkan berat bayi perempuan ini ketika dilahirkan hanya 245 gram!

Umpama berat sebiji epal, bayi yang dinamakan Saybie oleh kakitangan hospital tempat dia dilahirkan dikatakan bayi terkecil dunia.

Dilahirkan di Hospital San Diego, Amerika Syarikat beberapa bulan lalu, bayi istimewa ini diramal tidak dapat bertahan lama kerana keadaannya yang tidak stabil.

Saybie dilahirkan ketika usia kandungan ibunya 23 minggu dan tiga hari pada Disember lalu.

Ketika dilahirkan Disember lalu, Saybie disamakan dengan berat sebiji epal.

Ketika dilahirkan, saiz Saybie hanya memenuhi telapak tangan penjaganya.

Saybie mencatat rekod sebagai bayi terkecil dunia yang hidup dalam pendaftaran kategori itu seperti  diumumkan University of Iowa.

Malahan, bapa Saybie telah diingatkan oleh doktor mengenai hayat anaknya itu tidak lama iaitu sekitar sejam saja.

"Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Saybie meneruskan hidupnya selepas sejam kepada dua jam, kepada hari dan seterusnya minggu," kata ibu Saybie dalam sebuah rakaman video yang dikeluarkan hospital berkenaan seperti dilaporkan AFP.

Bayi istimewa itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan berikutan pelbagai komplikasi yang boleh membahayakan nyawa ibunya.

Selepas hampir lima bulan diletakkan di bawah pemantauan doktor di unit rawatan rapi hospital, Saybie akhirnya dibenarkan keluar hospital dengan beratnya mencecah 2.23 kg.

"Dia adalah bayi ajaib," demikian menurut jururawat Kim Norby yang menjaga Saybie di hospital.

Sebelum itu, rekod berkenaan dicatat di Jerman pada 2015 apabila seorang bayi dilahirkan dengan beratnya tujuh gram melebihi berat Saybie.


Saybie, San Diego

Artikel Berikut

Artikel Lain