suria

“Nampaknya mereka menyedari keberadaan kami” - Lagi juruterbang pesawat tempur AS dedah terserempak UFO

Gambar paparan skrin sebuah video pesawat tempur AS yang menunjukkan sebuah pesawat tidak dikenali dan dipercayai sebagai UFO. Rakaman pada 2004 -fotoYouTube/Jabatan Pertahanan AS

JURUTERBANG jet tempur Angkatan Laut Amerika Syarikat yang berpengalaman mengaku pernah mengalami beberapa pertemuan dengan UFO atau objek terbang tak dikenali sepanjang tempoh 2014 hingga 2015.

Dalam pengakuan kepada New York Times minggu ini, yang memetik Live Science, para juruterbang itu mengaku kamera dan radar pada pesawat tempur mereka mengesan objek terbang yang bergerak dalam kelajuan hipersonik, lima kali lebih laju dari kepantasan suara, pada ketinggian 30 kaki atau hanya 9,14 meter.

Uniknya para juruterbang pesawat tempur AS itu tak melihat adanya sistem penyokong roket atau jet pada UFO-UFO tersebut, seperti yang umumnya digunakan oleh pesawat-pesawat di Bumi.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang rakam UFO dari kokpit pesawat "Saya tak pernah lihat sesuatu terbang terlalu laju seperti itu"

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera Laut AS tubuh sistem untuk lapor kes UFO, enggan dedah penemuan kepada orang awam

Walaupun begitu, para juruterbang itu menekankan bahawa UFO-UFO tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda agresif, menurut enam orang juruterbang pesawat tempur AS yang diwawancara oleh New York Times.

Keenam-enam juruterbang itu bertugas di Kapal Induk Theodore Roosevelt dari 2014 hingga 2015. Mereka mengaku bertemu dengan UFO ketika terbang di wilayah tenggara AS, bermula dari Virginia hingga Florida.

Selain bercakap kepada New York Times, kisah serta rakaman radar dua dari enam juruterbang tersebut juga ditayangkan dalam tayangan dokumentari saluran TV History Channel yang ditayangkan pada 31 Mei.

Dalam dokumentari itu dapat dilihat rakaman radar yang menggambarkan pergerakan dua buah UFO; satu merupakan titik putih kecil dan satu lagi mirip gelembung yang berwarna lebih gelap.

Para juruterbang itu menyebut dua objek terbang tersebut sebagai Go Fast dan Gimbal.

"Objek-objek itu tak memiliki sayap, ekor atau mengeluarkan asap," jelas Leftenan Danny Accoin salah seorang juruterbang yang mengaku melihat UFO pada 2014.

"Nampaknya mereka menyedari keberadaan kami, kerana mereka secara aktif bergerak di sekitar kami."

Accoin mendakwa bertemu UFO sebanyak dua kali, dalam penerbangan yang hanya berselang beberapa hari.

Jelasnya, walaupun semua pengesan yang ada di jet tempurnya seperti radar dan kamera inframerah dapat 'menangkap' UFO tersebut, tetapi ia tidak berjaya merakam objek-objek tersebut.

Kisah Leftenan Ryan Graves, juruterbang pesawat tempur F-18, juga hampir sama dengan Accoin.

Dia mendakwa satu skuadron UFO mengekori gugusan pesawat tempur tempatnya bertugas selama berbulan-bulan di pesisir timur AS.

Pada Mac 2015, setelah Kapal Induk Theodore Roosevelt diperintahkan untuk belayar ke Teluk Arab, UFO-UFO tersebut kembali muncul.

"Kami berdepan masalah dengan UFO-UFO tersebut ketika kami pergi ke Timur Tengah," kata Graves.

Para juruterbang itu sendiri tidak menganggap UFO-UFO tersebut sebagai pesawat alien, tetapi menganggap bahawa objek-objek terbang misteri itu sebagai dron atau pesawat tanpa awak (nirawak) yang sedang dikembangkan dalam program rahasia.

Graves, Accoin, dan rakan-rakannya mendedahkan informasi ini kepada awam kerana bimbang akan keselamatan diri mereka serta akan keamanan nasional AS.

Ini bukan pertama kali para juruterbang jet tempur AS bercakap secara terbuka tentang UFO.

Pada 2017, beberapa juruterbang jet tempur AL AS juga mengaku melihat, malah mengejar beberapa UFO ketika sedang membuat latihan pada 2004. -NY Times

UFO, juruterbang, pesawat tempur

Artikel Lain