KECOH apabila seorang pengatur program komputer di China berkongsi di media sosial tentang bagaimana dia mencipta 'chatbot' untuk menjawab mesej teks teman wanitanya untuk tempoh 24 jam, sehari. Dia mendakwa terpaksa melakukannya kerana terlalu sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk melayan mesej kekasihnya di telefon. Li Kaixiang, yang bekerja sebagai jurutera pembangunan perisian untuk gergasi internet China JD.com, berkata dia terlalu sibuk untuk menjawab teks harian teman wanitanya, tetapi dalam masa sama tidak mahu menyakiti hatinya dengan mengabaikan mesej-mesej yang dihantar. Jadi dia mendapat idea menghasilkan 'chatbot' untuk menjawab dan menghantar mesej bagi mewakili dirinya. Dia juga menyiarkan beberapa paparan skrin perbualan 'chatbot' dengan teman wanitanya di WeChat, dan perisian itu nampaknya berfungsi dengan agak baik. Dia juga menyebut bahawa pada hari pertama 'chatbot' itu berada dalam talian, sekitar 300 teks saling dihantar dengan teman wanitanya. Dalam salah satu perbualan yang dipaparkan dalam talian, teman wanita Kaixiang nampaknya mengesyaki sesuatu yang tidak kena, apabila bertanya soalan seperti 'bagaimana kamu buat?', 'mengapa respons begitu pantas', tetapi chatbot berjaya 'menguruskannya'. Paparan skrin perbualan antara chatbot dan teman wanita Kaixiang. Posting lelaki itu di platform Weibo tidak menyebut sama ada wanita itu menyedari mesej tersebut adalah 'auto balas', tetapi ramai juga yang menyukai idea itu sambil menganggap Kaixiang seorang yang bijak dan meminta kod supaya ia boleh digunakan oleh mereka juga. "Ia adalah satu idea yang baik. Saya tak perlu risau teman wanita sakit hati jika saya tidak menjawab mesejnya," kata seorang pengguna Weibo. "Bro, boleh bagi kod sumber?" kata seorang lelaki lagi. Tetapi chatbot itu tidaklah begitu sempurna. Dalam perbualan lain, ia menulis: "Baby, ini adalah hari ke-618 kita bersama. Harap mood kamu lebih cerah daripada matahari," diikuti maklumat cuaca "Suhu:18.0°-34.0°C... Angin: Tahap 3...Kualiti udara: 42.0" Selain itu, tidak semua orang terkesan dengan idea tersebut. Sesetengah orang mengkritik Kaixiang kerana mendakwa terlalu sibuk untuk menjawab teks teman wanitanya, tetapi mempunyai masa untuk bekerja menghasilkan chatbot. Ada juga yang memberi amaran kepadanya bahawa pasangannya mungkin akan jatuh cinta dengan chatbot itu. Satu perkara yang pasti, walaupun postingnya tular di media sosial China, tetapi dia nampak tidak suka dengan perhatian yang diberikan. Sebaik sahaja ia tular, dia terus memadam akaun Weibonya. Mungkin dia tidak mahu teman wanitanya tahu helahnya atau tidak mahu orang bertanya tentang perkara itu. -Oddity