SEJAK dua tahun lalu, satu blok perumahan di Punggol, Singapura telah menyaksikan aktiviti pindah-randah yang kerap berlaku. Enam isi rumah di tingkat yang sama terpaksa 'angkat kaki' gara-gara seorang wanita. Digelar 'jiran dari neraka' dia dituduh sering menyimbah minyak di pintu jiran-jiran, memasang lagu dengan kuat dan menghentak lantai. Seorang jiran juga mendakwa dia telah meninggalkan telinga babi yang berdarah di atas rak kasutnya. Susulan kejadian yang didakwa, beberapa laporan polis telah dibuat oleh jiran-jiran wanita itu. Kecewa apabila diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa apa yang dilakukannya bukanlah kesalahan yang boleh menyebabkan wanita itu ditangkap, enam keluarga yang tinggal dekat dengan rumahnya setakat ini telah menjual flat mereka. Keluarga terakhir yang berpindah keluar adalah pada November lalu. Keluarga baharu yang kemudian berpindah masuk ke situ berkata mereka juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Pada Februari tahun lepas, seorang penduduk juga terpaksa berpindah disebabkan jiran yang sama. Dia memberitahu The Sunday Times bahawa dirinya 'sangat tertekan' sehingga sanggup merayu kepada pihak berkuasa perumahan supaya dia dapat menjual rumahnya itu sebelum menyelesaikan tempoh minimum lima tahun tetapi rayuannya ditolak. Hanya kerana tidak tahan dengan wanita ini, enam jirannya terpaksa berpindah keluar dari unit masing-masing. -fotoStraitsTimes "Saya dah tak tahan lagi. Setiap hari selepas balik kerja, saya akan lihat ada saja cecair disimbah di pintu rumah. Ada hari dia guna minyak masak, ada satu hari tu disimbah bubur. Yang paling teruk adalah telinga babi pada rak kasut saya. "Ini adalah flat pertama saya dan saya berasa sangat malang. Saya menjualnya kepada keluarga lain. Saya minta maaf kepada mereka tetapi semua orang mahu melarikan diri," katanya. Jiran yang dimaksudkan adalah suri rumah berusia 51 tahun. Pada 2013, ibu tunggal itu dengan seorang anak lelakinya yang sedang menunggu untuk masuk universiti, berpindah ke flat dua bilik di situ. Temu bual dengan jiran-jirannya yang terdahulu dan sekarang menunjukkan bahawa masalah itu timbul setahun selepas itu. Seorang jiran menunjukkan fail dengan sekurang-kurangnya 17 laporan polis dibuat, serta aduan kepada pihak berkuasa perumahan. Seorang jurucakap polis berkata: "Oleh kerana semua laporan itu untuk kesalahan yang tidak dapat ditangkap seperti gangguan disengajakan, pencemaran bunyi dan kerosakan, jiran-jiran kepada suri rumah itu dinasihatkan membuat aduan majistret. Semua pihak yang terlibat juga dinasihatkan untuk menjaga keamanan." Aduan majistret difailkan apabila seorang lelaki ingin memulakan pendakwaan terhadap wanita yang dia percaya telah melakukan kesalahan jenayah terhadapnya. Jiran yang memfailkan aduan itu selepas percubaan awalnya untuk berbincang gagal, tinggal di atas unit wanita berkenaan. Dia mendakwa batu dilemparkan ke rumahnya apabila dia berdepan dengan bunyi bising yang datang dari rumah wanita itu. Tuduhan itu kemudian dipertikaikan oleh suri rumah berkenaan yang mendakwa lelaki itu yang mula menimbulkan masalah dengan menjatuhkan bebola logam di lantai yang dapat didengar dari rumahnya di bawah. "Jadi, saya mengambil batu kecil dan melontarkannya di luar koridor unitnya ketika saya marah. Ia mengganggu tidur saya dan ia bukan kali pertama. Saya juga menghubungi polis," katanya. Ketika ditemui di rumahnya selama tiga jam pada Khamis, suri rumah itu tenang dan bersuara ketika menjawab tuduhan-tuduhan jirannya. "Jika bekas pemilik kata mereka jual rumah sebab saya, saya beritahu anda, saya tidaklah hebat sangat. Saya seorang, tak boleh buat semua ini. Saya ada rakaman tindakan mereka," katanya dan menuduh jirannya berpakat untuk mengenakannya. Seorang bekas jiran yang hanya ingin dikenali sebagai Lee berkata dia bersama jiran lain telah mengadakan beberapa mesyuarat kerana mengalami masalah yang sama dengan suri rumah terbabit. Perselisihan bermula apabila pemilik unit sebelumnya berdepan dengan wanita itu, imbasnya yang juga seorang suri rumah. Dia berkata pasangan itu membuang abu rokok di antara jurang pintu kayu dan pintu gril rumahnya. Jadi dia memasang tiga kamera litar tertutup di luar flatnya. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, wanita itu menambah, dia telah memfailkan pelbagai aduan dengan agensi berbeza, termasuk Agensi Alam Sekitar Kebangsaan, mengenai jirannya. Apabila wanita itu diberitahu bahawa jiran-jirannya mengeluh tentang bunyi muzik kuat dan pintu yang dihempas dari unitnya, suri rumah itu berkata dia terpaksa tidur dengan radionya yang dipasang setiap hari untuk menenggelamkan bunyi dari tingkat atas. Tahun lepas, pasangan yang tinggal bertentangan dengan rumah suri rumah itu menjual unit mereka kepada seorang ibu tunggal berusia 34 tahun. Hari pertama dia pulang ke rumah, dia mendapati polis di pintu rumahnya. Pembantu pentadbir yang enggan disebutkan namanya berkata: "Dia menghubungi polis untuk mengadu sepupu saya buat bising dan merokok di koridor. "Sebulan kemudian, dia tuang minyak masak di luar flat saya sebanyak tiga kali." - The Straits Times/ Asia News Network