PASANGAN pembunuh bersiri yang menyembelih 20 mangsa sebelum memberi hati mereka sebagai makanan anjing dikenakan hukuman penjara selama 654 tahun. Kedua-dua tertuduh dari Mexico yang digelar 'Monsters of Ecatepec' oleh media diberikan hukuman penjara tambahan 40 tahun kerana membunuh seorang wanita yang tidak dinamakan pada Mac 2018. Dalam pertuduhan terakhir mereka, Juan Carlos Hernandez Bejar, 38, dan Patricia Martinez Bernal, 44, masing-masing dijatuhi hukuman 327 tahun. Pasangan itu ditahan pada Oktober 2018 ketika mereka menolak kereta sorong bayi yang penuh dengan mayat manusia di sebatang jalan di Ecatepec. Selepas serbuan dilakukan di rumah tertuduh, polis menjumpai beberapa mayat wanita. Polis turut menemui lapan baldi plastik bersaiz 20 liter dipenuhi anggota badan yang ditanam di dalam simen di dua lokasi. Bahagian badan lain ditemui dibungkus di dalam plastik yang diletakkan di dalam peti sejuk dekat kediaman mereka. Terdahulu Hernandez Bejar mengakui membunuh 20 wanita kepada pihak polis, lapor media Mexico. Pihak berkuasa berkata Bernal berperanan mendekati mangsa kebanyakannya wanita muda sebelum mengajak mereka datang ke rumah yang berselindung sebagai tempat menjual keju, pakaian atau minyak wangi. Sebaik tiba di rumah mereka, Hernandez Bejar membunuh dan melupuskan mayat mangsa. Dia turut mengaku melakukan penderaan seksual kepada salah seorang mangsa sebelum membunuhnya. - Dailystar