suria

Empat tahun hantar mesej ke nombor telefon mendiang bapa setiap hari, akhirnya dibalas daripada lelaki kematian anak

Chastity Patterson menerima mesej daripada nombor telefon mendiang bapanya. Foto Facebook/Chastity Patterson

SEORANG gadis yang menghantar mesej ke nombor telefon mendiang bapanya setiap hari selama empat tahun, mendakwa menerima satu mesej yang menyentuh emosi daripada individu yang tidak dikenali.

Individu tersebut merupakan seorang bapa yang kehilangan anak akibat nahas jalan raya.

Chastity Patterson, 23, dari Arkansas di Amerika Syarikat (AS) menghantar mesej ke nombor telefon bapanya setiap hari bagi memberikan perkembangan dirinya sejak kematian bapanya itu empat tahun lalu.

Dia melakukan sedemikian bagi merasai dekat dengan bapanya.

Bagaimanapun dia dikejutkan dengan satu mesej yang dibalas daripada seseorang selepas empat tahun berbuat demikian.

Lelaki tersebut menggelarkan dirinya sebagai 'Brad' memberitahu telah membaca mesejnya selama bertahun-tahun.

Chastity berkata: "Saya menulis mesej kepada ayah setiap hari untuk dia tahu macam mana perjalanan hari saya, selama empat tahun! Hari ini merupakan tanda yang semuanya ok, dan saya boleh biarkan dia bersemadi!"

Kebanyakan mesej Chastity adalah mengenai perubahan hidup yang besar seperti berjuang melawan penyakit kanser, graduasi, hati terluka, dan kemudian mencari cinta baharu.

Suatu hari, mesej Chastity dibalas oleh seorang lelaki yang juga merupakan seorang bapa.

"Saya kehilangan anak perempuan dalam kemalangan kereta pada Ogos 2014, dan mesej-mesej yang kamu hantar buat saya terus hidup," katanya.

Dia tidak pernah membalas mesej-mesej Chastity sebelum ini, tetapi kemudian menulis sudah tiba masanya untuk dia memberitahu kewujudannya.

"Saya bersimpati kerana kamu kehilangan dengan seseorang yang rapat dengan kamu, tetapi saya mendengar kamu sejak bertahun-tahun dan saya menyaksikan kamu membesar lebih daripada sesiapa pun.

"Saya mahu menghantar mesej kepada kamu beberapa tahun lalu tetapi saya tidak mahu mengguriskan hati kamu. Kamu seorang wanita yang luar biasa dan saya berharap anak perempuan saya jadi seperti kamu," tambahnya.

Dia juga memberitahu bahawa bapa Chastity pastinya berbangga dengan anak perempuannya itu. - Mirror UK

Chastity Patterson