suria

Lelaki ditahan selepas bantu polis kejar, tangkap suspek pembunuhan

Pasukan polis peronda pada mulanya agak buntu dengan bantuan yang diterima daripada 'polis' lain.-foto Matt Popovich/Unsplash

SEORANG lelaki dari North Carolina yang membantu polis mengejar suspek bersenjata api dan menggarinya akhirnya ditangkap kerana menyamar sebagai seorang pegawai polis.

Pada malam 5 Oktober, polis di Wilson, North Carolina tiba-tiba mendapat bantuan yang tak dijangka semasa mengejar kereta suspek yang memecut laju.

Kira-kira pukul 11 malam, mereka menahan sebuah kereta untuk mencari suspek pembunuhan, tetapi ketika menghampiri kereta itu pemandu itu terus memecut.

Pegawai-pegawai berkenaan masuk ke dalam kereta peronda dan mengejar kereta suspek, tetapi ketika kereta yang dikejar berada pada jarak kira-kira 2 batu, sesuatu yang sangat aneh berlaku.

Sebuah kereta Ford Taurus hitam dengan lampu biru dihidupkan memecut melepasi kereta peronda dan memotong kereta suspek.

Tersekat di antara kereta Ford Taurus itu dan kereta peronda polis, suspek tidak mempunyai pilihan selain berhenti.

David Adams ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis. -foto Wilson Police Department

Bagaimanapun, sebelum polis memahami tentang apa sebenarnya sedang berlaku, lelaki di dalam Ford Taurus itu yang kemudian dikenal pasti sebagai David Adams, 30, keluar dari keretanya sambil mengacukan pistol terhadap lima lelaki di dalam kenderaan mencurigakan itu, mengarahkan mereka untuk keluar dan kemudian menggari mereka.

Tidak jelas apa yang dilakukan polis ketika itu, tetapi pada satu ketika mereka tidak pasti bahawa Adams adalah seorang pegawai polis dan meminta dia menghentikan apa yang dilakukannya.

Bagaimanapun, dia dilaporkan meninggalkan tempat kejadian sebelum polis berpeluang bercakap dengannya.

Polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas Adams dan mendapat tahu bahawa dia bukan pegawai penguatkuasa undang-undang yang dilantik.

Waran tangkap dikeluarkan ke atas Adams dan didakwa menyamar sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang.

Rupa-rupanya salah seorang daripada lima lelaki di dalam kereta tersebut adalah abang suspek pembunuhan yang diburu polis dan polis palsu itu secara kebetulan membantu mereka.

Jadi, menarik untuk melihat perbicaraan kes ini. -Oddity

polis, tahan, menyamar, gari

Artikel Lain