suria

Bayi berusia dua minggu meninggal dunia di penjara kerana jururawat tak beri bantuan, gara-gara bukan berstatus ‘penghuni’

Bayi berusia dua minggu dilaporkan meninggal dunia selepas kakitangan di sebuah penjara di Australia enggan memberikannya bantuan perubatan atas alasan dia ‘bukan penghuni’. Foto: Nine/Metro.co.uk

SEORANG bayi berusia dua minggu dilaporkan meninggal dunia selepas kakitangan di sebuah penjara di Australia enggan memberikannya bantuan perubatan atas alasan dia ‘bukan penghuni’.

Dalam insiden yang berlaku pada Ogos tahun lalu itu, bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia di penjara Dame Phyllis Frost Centre, setelah ditemui tidak sedarkan diri.

Penjara itu menempatkan beberapa banduan wanita yang dahsyat, termasuk pembunuh bersiri ‘Black Widow’, Robyn Lindholm.

Penjara dengan keselamatan maksima itu membolehkan anak-anak tinggal bersama ibunya sehingga mereka berusia enam tahun.

Dalam tragedi yang berlaku pada waktu malam itu, para penghuni memberitahu bahawa mereka terjaga apabila seorang ibu muda warganegara Vietnam menjerit selepas mendapati anaknya kaku di sofa.

Jururawat yang tiba tidak lama kemudian dikatakan enggan menyentuh bayi itu kerana dia bukan seorang ‘penghuni’.

Seorang penghuni cuba untuk memberikan bantuan pernafasan namun gagal menyelamatkan bayi malang tersebut.

Jabatan Kehakiman dan Keselamatan Masyarakat berkata Polis akan menyiasat dan memberikan laporan kepada Koroner. - Metro.co.uk

bayi, penjara, bantuan

Artikel Lain