SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila nyaris menjadi mangsa rogol selepas dikejar seorang lelaki dalam keadaan bogel. Kisah menimpa wanita malang itu hangat diperkatakan selepas rakaman video detik cemas tersebut tular di media sosial. Wanita itu yang identitinya tidak didedahkan dilihat sedang berjalan seorang diri di sebuah pusat peranginan di Rio de Janeiro ketika insiden berlaku pada pagi Selasa lalu. Mangsa dilihat menyedari kehadiran sebuah kereta yang dipandu secara perlahan sebelum seorang lelaki dalam keadaan berbogel tiba-tiba keluar dari kereta tersebut. Dia bagaimanapun terus berjalan tanpa menghiraukan lelaki itu. Namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu bertindak mengejar mangsa dari arah belakang. Mangsa mendakwa cuba melarikan diri dan menjerit meminta tolong daripada orang awam. Menurut polis, suspek cuba memaut pinggang gadis itu tetapi dia dapat melarikan diri. Memandangkan waktu itu hujan, suspek terpaksa membatalkan niat tidak senonohnya itu kerana pintu keretanya tidak bertutup. - Dailystar.co.uk