KEJAM! Seorang ibu muda berusia 17 tahun maut ditembak tunang sendiri, gara-gara cemburu kerana dia memberikan lebih perhatian kepada anak lelaki mereka, kata polis Brazil. Maria Eduarda Lima dilaporkan ditembak di kepala dan tangan oleh pasangannya, Patrick Azevedo Silva, 22, ketika anaknya sedang duduk di pangkuan. Silva melakukan serangan itu pada pagi Selasa lalu di rumah mereka sebelum melarikan diri namun berjaya ditangkap pada hari yang sama. Bapa saudara mangsa, Lucas Rodrigues berkata: “Pada malam Isnin sebelum serangan tersebut, Maria telah menghantar mesej kepada ibunya yang mendakwa Patrick bersenjata dan mengancam membunuhnya”. Mereka kemudian bergegas ke rumahnya dan menjumpai mangsa dalam keadaan cedera manakala anaknya menangis di sampingnya. Maria kemudian dibawa ke Hospital Negeri Alberto Torres untuk rawatan namun doktor memaklumkan peluru tertanam di bahagian yang sukar. Mereka memutuskan untuk menangguhkan pembedahan dengan harapan keadaan wanita muda itu akan bertambah baik. Bagaimanapun, ibu muda itu disahkan meninggal dunia sehari selepas insiden tersebut. Keluarganya memutuskan untuk mendermakan organnya sebelum dikebumikan. Anak pasangan itu yang berusia setahun dipelihara oleh datuk dan neneknya. - Mirror.co.uk