suria

Ugut mahu bakar kelab malam gara-gara tidak jual Red Bull, lelaki dihukum penjara

Lelaki bernama Michael Day berang selepas pekerja di kelab malam tersebut memberi minuman lain kepadanya sebagai pengganti kerana mereka tidak menjual Red Bull. Foto: SWNS

SEORANG lelaki dihukum penjara gara-gara bertindak ganas dengan melemparkan sebuah tin berisi petrol dan menyalakan pemetik api di sebuah kelab malam yang penuh dengan pengunjung, gara-gara tidak menjual minuman Red Bull.

Michael Day, 38, turut berteriak ‘Saya akan membakar setiap daripada kamu’ sebelum kelab malam Shush, di Wantage, Oxfordshire, terpaksa dikosongkan.

Day yang berasal dari Wantage, berang selepas pekerja di kelab malam tersebut memberi minuman lain kepadanya sebagai pengganti kerana mereka tidak menjual Red Bull pada 28 April, Mahkamah Crown Oxford diberitahu.

Day kemudian bertukar menjadi agresif dan dihalau keluar dari kelab.

Bagi membalas dendam, Day kembali ke kelab malam tersebut, di mana rakaman CCTV menunjukkannya memegang bekas plastik putih yang diisi dengan 20 liter petrol.

Semasa tiba di pintu masuk kelab malam itu, dia dilihat melemparkan bekas itu ke arah pintu.

Day kemudian ditangkap dan dia memberitahu bahawa dia meminum sehingga tujuh botol Corona, selain menyatakan dia tidak bermaksud untuk membakar kelab malam tersebut sebaliknya hanya mahu ‘menakutkan orang’.

Peguam belanya berkata Day tidak dapat mengingati kejadian itu.

Hakim Maria Lamb bagaimanapun berkata insiden tersebut ‘menakutkan’ dan menjatuhkan Day hukuman penjara selama lima tahun dan dua bulan. - Metro.co.uk

Red bull, kelab malam, petrol

Artikel Lain